Thursday, June 24, 2010

Jalan ke Jepun (Bahagian 15)

Sambungan dari bahagian ke 14

Aki 2007,

Di Akita kosen pada bulan Oktober diadakan kounai sports taikai. Setiap kelas akan menghantar wakil masing-masing bagi setiap acara yang dipertandingkan. Aku sempat mewakili kelas bagi acara badminton bergu, tetapi sempat bermain untuk satu perlawanan sahaja. Lain-lain perlawanan, aku digantikan oleh rakan kelas bernama hosoya kun. Dia memang cekap.

TIM, di sini bermula.

Usrah online yang pertama diatur beberapa minggu sebelum kounai sports taikai. Temujanji telah ditetapkan pada waktu pagi. Waktu itu, tidak ada sambungan internet ke bilik asrama Akita kosen. Mungkin ada pembaca yang terkejut, negara maju seperti nihon tidak menyediakan sambungan internet bagi penghuni asrama? Aku tidak pasti sama ada itu adalah strategi pihak sekolah yang mahu menghalang pelajarnya daripada dilalaikan oleh internet.

Tetapi ada jalan keluar. Aku telah pun membeli internet musen dari syarikat willcom, dial-up dengan kelajuan 56 kbps. Mat janggut dan sazali samad pula, mereka menggunakan internet asrama kosen masing-masing. Maka dengan izin Allah, perjumpaan pertama telah diadakan tetapi , pada perjumpaan pertama, sazali samad tidak dapat bersama kerana internetnya meragam. Hanya aku, mat janggut dan brother S.

Kami berta'aruf. Dan selepas itu entah bagaimana, mat janggut telah mencadangkan usrah kami dinamakan sebagai "TIM", diambil dari perkataan "team". Ibaratnya kami seperti sebuah pasukan. Terfikir juga, mahu meletakkan nama sempena tokoh-tokoh atau pertistiwa penting dalam sejarah Islam, meminjam ruh perjuangan generasi terdahulu. Tetapi aku tidak bersuara. Mungkin kerana aku juga tidak bergitu kodawaru berkenaan nama ketika itu.

Dan pada perjumpaan pertama itu brother S membawa tajuk tujuan hidup. Terjemahan Al-Quran diselak.

"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. "(51:56)



"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi..."(2:30)

Hamba, yakni taat pada suruhan dan laranganNya. Khalifah, menguasai bumi dan menegakkan syariatNya. Ya, walaupun kita tidak lari dari kelemahan dan dosa, inilah tujuan hidup kita.

Aku cuba memberi sepenuh tumpuan tentang apa yang cuba disampaikan oleh brother S, walaupun komunikasi secara online ini banyak kekangan. Aku tidaklah begitu waku-waku dengan perjumpaan secara online ini pada mulanya.

Tapi ada satu perkara yang aku katakan pada diri sendiri.

"Mengapa aku tak pernah tahu perkara ini?"

Yang mana menunjukkan, aku masih banyak mengabaikan Al-Quran walaupun sudah bertahun-tahun membacanya.

Dan aku juga mula mengkaji, apa itu usrah sebenarnya?

Bersambung dalam siri ke enam belas.

nota sisi:
1) kounai sports taikai = kejohanan sukan peringkat sekolah
2) kodawaru = concern, peduli
3) kosen = kolej teknikal(ala-ala politeknik)
4) nihon = Jepun
5) ta'aruf = berkenalan
6) waku-waku = excited
7) aki = musim luruh
8) musen = tanpa wayar

No comments: