Friday, June 11, 2010

Jalan ke Jepun (Bahagian 14)

sambungan dari bahagian ke 13

Natsu 2007 belum berakhir,

Pada hari terakhir internship, aku perlu bentangkan laporan di hadapan bucho. Pembentanganku sekitar lima minit sahaja, tapi bucho bagi komen dalam 30 minit. Letih berdiri sambil menjawab "hait, hait!". Banyak perkara yang dinasihatkan kepadaku. Apapun aku dapat menyedari ketelitian yang ada pada bucho. Dia sangat teliti, walaupun pembentenganku itu bukanlah projek besar pun. Sekadar hasil yang aku perolehi sepanjang internship di Hitachi Oomika.


Pulang Dari Internship


Maka tamatlah internshipku selama dua minggu di Hitachi. Sebelum pulang shunin gijutsusha menyerahkan borang internship kepadaku. Aku perlu serahkannya kepada sensei di sekolah sebagai bukti internshipku selama dua minggu. Dalam perjalanan pulang, aku singgah di Sendai selama dua hari untuk berjumpa sahabatku Saniy dan rakan-rakan Tohoku Daigaku.

Ketika itu sudah minggu kedua September. Ramadhan telah bermula. Alhamdulillah, aku diberi peluang menempuhi Ramadhan biarpun berjauhan dari keluarga. Aku bercuti hingga 30 September. Selama waktu cuti ini, banyak masa dihabiskan dengan rakan-rakan Akita Daigaku. Solat tarawih, tadarus, iftar, dijalankan bersama.

Sebuah kehidupan yang tipikal bukan?

Sehinggalah di penghujung September. Seorang senpai yang tidak dikenali menghubungiku di yahoo messenger. Aku namakannya sebagai brother S(mungkin ada disebut dalam kisah terdahulu). Pada mulanya aku sedikit janggal. Masakan tidak, dia berbahasa "ana anta". Aku tahu maksudnya, tapi seumur hidupku tak pernah berbahasa begitu. Dia mintaku membuat id skype. Katanya dia mahu jemputku menyertai usrah online. Sudah, perkataan baru lagi. Aku pun tak tahu apa itu usrah. Tapi layan aje. Selain aku, brother S kata dia turut mengajak dua lagi sahabat tahun pengajian ketiga kosen, iaitu Mat Janggut dan Sazali Samad (bukan nama sebenar). Aku kenal mereka kerana sempat berjumpa di UTM Kuala Lumpur.

Dalam perbualan tersebut aku banyak mengiyakan sahaja.

Masa lapangku banyak dihabiskan menonton TV, dan bermain permainan komputer "Medieval Total War II". Aku sukakan permainan peperangan. Tak lama kemudian tibalah Aildilfitri. Sambutan perayaannya tidak banyak beza dengan di Malaysia. Persiapan dilaksanakan secara gotong royong. Semua orang terlibat. Cuma sedihnya tidak ada orang yang tampil untuk mengingatkan erti sebenar hari raya tersebut. Aku pun lupa dan mengikut arus.

Dan tak lama kemudian brother S menghubungiku semula. Pertemuan usrah online yang pertama sudah diatur. Di sini bermulalah episod baru kehidupanku...

bersambung dalam bahagian ke lima belas

nota sisi:
1) bucho = head of department
2) daigaku = universiti
3) sensei = cikgu
4) shunin gijutsusha = senior engineer
5) natsu = musim panas
6) kosen = kolej teknikal(ala-ala politeknik)

No comments: