Saturday, January 30, 2010

Jalan ke Jepun (Bahagian 12)

Sambungan dari bahagian ke 11

Masih lagi natsu tahun 2007.....



Craine Hotel, Hitachi

Internship di Kilang Hitachi Oomika agak menguntungkan dari segi kewangan. Sarapan dan makan malam disediakan di hotel. Kami menginap di Hitachi Craine Hotel. Setiap hari kami diberi 1000 yen buat belanja makan tengahari di shokudou. Tiket perjalanan pergi dan balik dari Akita ke Hitachi pula ditanggung sepenuhnya oleh syarikat. Dan yang lebih penting lagi, aku beroleh dua jam kredit untuk pengajian kolejku. Ada juga rakan-rakan internship di Hitachi yang datang untuk mengutip pengalaman semata-mata, bukan untuk menambah jam kredit.

Selepas tamat sesi taklimat pada hari pertama, pada malam tersebut wakate-syain menjemput kami ke nomikai. Dan pada hari itu juga aku berkenalan dengan Shimizu-san, salah seorang dari wakate-syain yang ditugaskan menjadi tutor kami. Istimewanya Shimizu-san ni, ialah dia mengetahui serba sedikit berkenaan Islam, dan dia banyak membantuku sepanjang keberadaanku di Hitachi Oomika. Ketika dia menuntut di daigaku, rakan satu labnya ialah orang Malaysia yang saya yakin serba-serbi telah mempraktikan Islam dalam hidup. Tidak hairanlah Shimizu-san tahu serba serbi berkenaan makanan halal, solat dan lain-lain.

"Macam mana makanan di hotel? Kalau belum beritahu, saya akan terangkan kat mereka."

"Kalau nak sembahyang bagitaulah, nanti saya carikan bilik"

"Untuk BBQ nanti, saya akan sediakan ikan bakar. Khas untuk Naim-san"

Dalam kerisauanku mengikuti internship, Allah permudahkannya melalui Shimizu-san. Dan moga Allah kurniakan ganjaran kepada rakan Shimizu-san di daigaku dahulu, walaupun aku tidak pernah mengenalinya, asbab dia telah menunjukkan contoh kehidupan seorang muslim kepada Shimizu-san, manfaatnya sampai kepada diriku.

Pada hari kedua kami datang awal ke pejabat. Buchou pejabat kami, Bandou-san minta kami datang awal untuk beberapa hari tertentu. Dia nak bagi special lecture. Dan pada hari kedua kami memperkenalkan diri kepada semua staf syarikat. Tergagap-gagap jugalah masa aku tampil kehadapan. Kemudian kami diterangkan secara ringkas aktiviti kami sepanjang internship. Secara umumnya kami ada dua aktiviti utama, iaitu membantu wakate-syain menyelesaikan tugas, dan melawat kilang-kilang Hitachi di kawasan sekitar. Aku ditugaskan membantu Sasamoto-san, dia tengah reka resolver yang digunakan dalam reaktor nuklear. Aku tolong sedikit saja, dan di bahagian yang mudah. Banyak yang tidak didedahkan kerana rahsia syarikat.

Waktu bekerja kami tamat pada pukul 5.15 petang. Buchou mahu kami pulang awal.

"Budak internship tak boleh buat zangyou" datte...

Setiap hari kami balik dan tiba semula di hotel sekitar pukul 6:00 petang.

bersambung dalam siri ketiga belas....

Nota-sisi:
1) natsu: musim panas
2) shokudou: dewan makan, kafetaria
3) wakate-syain: staf-staf muda
4) nomikai: majlis minum-minum & makan-makan
5) daigaku: universiti
6) buchou: ketua jabatan, head of department
7) zangyou: overtime
8) datte: katanya....






2 comments:

HMJ said...

love ur post,hows ur intership,mcm bes jer....wat kos u amik? engineering ka??

nbo_3 said...

salam,

Schoolmate erk. Alhamdulillah Insternship ok. Tapi internship tu tahun 2007.

Course EE.