Sejuk. Walaupun fuyu belum tiba, kedinginannya cukup untuk menggigilkan badan. Ingat nak sambung kisah "jalan ke jepun", tapi aku tangguhkan dulu. Nak cerita benda akademik sikit.
Elektrik dan Elektronik: Sama tapi tak serupa?
Aku adalah lepasan sekolah teknik dalam bidang kejuruteraan elektrik & elektronik. Sejak mula bersekolah, aku tertanya-tanya apakah sebenarnya yang membezakan elektrik dan elektronik. Mengapa perlu diasingkan? Mengapa tidak elektrik sahaja? Bukankah kedua-keduanya memerlukan tenaga elektrik?
Mungkin ada berbagai jawapan untuk persoalan tersebut. Kita sedia maklum bahawa tenaga elektrik terhasil apabila pengaliran elektron berlaku. Kan dah dekat tu, elektrik dan elektron. Bagaimana pula dengan litar elektrik dan litar elektonik? Cuba lihat dua gambarajah di bawah. Yang mana satu adalah litar elektronik?

Jawapan: Litar elektronik ialah litar B, kerana memiliki diod. Jadi bolehlah disimpulkan, mana-mana litar elektrik yang mengandungi active component seperti diod atau transistor, maka litar itu boleh juga disebut sebagai litar elektronik. Cuma sebagai peringatan, elektronik adalah subset kepada elektrik. Semua litar elektronik adalah litar elektrik, tapi bukan semua litar elektrik adalah litar elektronik.
Power Electronics
Mungkin ku pernah sebut sebelum ini tentang sotsukenku dalam bidang power electronics. Jika dialih bahasa, maka ia bermaksud "elektronik kuasa". Jadi apakah first impression anda apabila mendengar perkataan tersebut?
Pertama kali aku mendengarnya, aku sangka ia hanyalah berkisar tentang litar elektronik biasa yang beroperasi dengan voltan tinggi. Tanggapanku itu tidak salah, tapi masih belum mampu menerangkan apa itu power electronics dengan lebih terperinci.
Untuk menerangkan dengan mudah, cuba anda bayangkan dalam suatu litar elektronik, ada satu suis. Kemudian suis ini ditekan sebanyak seribu kali atau lebih dalam masa satu saat. Itulah dia power electronics. Dengan kata lain, ia adalah bidang yang mengaplikasikan teknologi pensuisan berkelajuan tinggi dalam litar.

Mari tekan suis ni 1000 kali dalam satu saat...
Power Electronics pada mulanya tidak diklasifikasikan dengan nama nya sendiri. Dahulu ia adalah sebahagian daripada kejuruteraan elekrtonik secara umum. Namun pada tahun 1970-an, suatu bidang yang bertunjangkan power, electronics dan control ditubuhkan secara rasmi sebagai satu cabang baru kepada kejuruteraan elektrik dan elektronik. Kajian dalam bidang ini ini sangat menggalakkan lebih-lebih lagi setelah kemunculan komponen-komponen yang lebih mantap seperti power diode, power transistor, thyristor dan IGBT.
Aplikasi power electronics terdapat dalam hampir semua peralatan elektrik hari ini. Namun di Jepun, selain dalam pembuatan perkakas elektrik, sumbangan besar power electronics ialah pada sistem keretapi di Jepun. Perkembangan bidang power electronics membolehkan sistem kawalan motor elektrik pada keretapi Jepun diperhalusi. Jika dahulu, perintang bersaiz besar diperlukan untuk mengawal motor elektrik, tapi kini suis-suis berkelajuan tinggi digunakan sebagai ganti.
Setelah setengah tahun bermain dengan bidang ini, satu perkara yang aku sedar. Bidang power electronics terlalu banyak menggunakan gambarajah gelombang dalam menganalisis data. Berpusing-pusing juga mataku dibuatnya (@_@).
Bedah buku;
Sejak kebelakangan ni aku cuba mengulangkaji sirah Rasulullah SAW. Bukanlah pertama kali aku membaca dan cuba mengkajinya, tapi naqibku pernah pesan, belajar sirah kena banyakkan sumber. Sebab cara huraian dan tulisan setiap ulama mungkin berbeza.
Sebagai muslim, sejak kecil lagi aku telah diajar tentang Rasulullah SAW. Tapi entah kenapa, baru kini aku mula menghayati dan lebih memahami hakikat perjalanan hidup Rasulullah SAW. Akan ku nukilkan di lain waktu jika berkemampuan.
Tsutzuku...
Nota sisi:
1) fuyu = winter, musim sejuk
2) sotsuken = graduation research