Sunday, November 30, 2008

Jalan ke Jepun (Bahagian 5)

sambungan dari bahagian keempat,

fuyu 2006,

Kini sudah masuk bulan Disember. Suhu semakin rendah, waktu siang juga makin singkat. Waktu Maghrib adalah sekitar pukul 4.30 petang.

Aku masih ingat hari tersebut. Awan agak tebal. Sedang aku berada di dalam bilik tiba-tiba aku terdengar bunyi yang agak pelik mengenai tingkap. Yang pasti ia bukan bunyi hujan. Ku jenguk keluar, rupa-rupanya adalah arare. Malam itu arare tidak turun begitu banyak, tapi cukup untuk membuat aku hairan kerana ia adalah fenomena yang jarang berlaku di Malaysia.

Ku teruskan sahaja dengan hal sendiri dalam bilik. Kemudian, aku terdengar lagi bunyi yang pelik mengenai tingkap. Bukan arare, bukan juga ame. Sukar untuk ku ungkapkan dengan kata-kata. Kemudian ku jenguk ke luar menerusi tingkap lagi sekali...




Turun juga akhirnya. Bagi diriku yang pertama kali melihatnya, yuki adalah sangat indah. Aku bergegas keluar untuk merasa dengan tangan sendiri. Tak ubah macam kisaran air batu. Kebetulan rakan kelasku bernama Itoh ternampak ku di luar. Dia hanya senyum tersengih melihat gelagatku.

Indah tapi cabaran,
Bagiku yuki memang cantik kerana berwarna putih. Melihatnya saja terasa sangat bersih. Tetapi jika bercampur dengan tanah, kurang sikitlah keputihannya. Dan ketika fuyu ni, kena bersusah payah lebih sikit untuk pakaian tebal. Sedikit belanja juga diperlukan untuk membeli minyak tanah supaya bilik tidak terlalu sejuk. Perut juga lebih cepat lapar, mungkin kerana badan menghasilkan lebih banyak haba untuk menghadapi suhu sekeliling yang rendah.

Nak keluar rumah juga rasa berat, kerana aku lebih cenderung untuk berada di dalam bilik. Kereta bergerak lebih perlahan kerana jalan licin. Suatu hari senpaiku Zarul berkata "lepas ni korang kena beli tebukuro yang bousui". "Kenapa pula? Kenapa mesti bousui?", aku bertanya kembali. "Yuki banyak. Kalau bousui, senang sikit tolak kereta bila sangkut tengah jalan nanti", balasnya. Banyak betul dugaan.

Di sebalik keindahan yuki, tersimpan satu cabaran untuk hidup. Hidup yang memerlukan kita agar bersusah payah. Memang diri kita manusia dicipta dalam keadaan bersusah payah. Kita bersusah payah untuk mencari rezeki. Bersusah payah untuk memenuhi hajat. Bersusah payah menghadapi alam sekitar. Nak duduk exam pun bersusah payah pulun mengulangkaji. Sepatutnya itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa kita ini lemah dan kerdil. Kita bukan siapa-siapa.

Ketika fuyu juga banyak sukan outdoor yang dihentikan. Kurang lojik untuk bermain sukan seperti tenis di dalam yuki. Semestinya bola tenis itu tidak melantun, tetapi tenggelam tak timbul. Atau mungkin diri anda akan berakhir dengan bersukan secara menggigilkan badan sahaja. Tapi ada juga sukan lain yang khusus ketika fuyu atau dipanggil dengan nama winter sports.

Apa pula kisah seterusnya? bersambung dalam bahagian keenam

Tsutzuku...


Nota sisi:
1) fuyu = winter, musim sejuk
2) arare(bunyi re dalam "rehat") = hujan batu
3) yuki = salji
4) ame(bunyi me dalam "merah") = hujan
5) senpai = senior
6) tebukuro(bunyi te dalam "teh") = sarung tangan
7) bousui = kalis air
8) tsutzuku = to be continued, bersambung

Monday, November 24, 2008

The Verses of...

Assalamu'alaikum,

Chizu

Sabtu dan Ahad yang lepas aku ke Nagaoka, sebuah daerah dalam niigata ken. Ada kejohanan bola sepak. Tapi hujan turun dengan lebat pada hari Ahad. Selepas rehat tengahari perlawanan diadakan di dalam taiikukang akibat hujan yang turun tak henti. Kejohanan telah dimenangi oleh pasukan Nagaoka.

Hari dah senja...

Aku bertolak dan pulang dengan densha seorang diri. 4 jam 53 minit ketika pergi, 5 jam 58 minit ketika pulang. Banyak masa tu. mottai nai jika dibiarkan kosong. Dan sedikit menyeksakan jiwa jika duduk tak berbuat apa-apa. Jika ada rakan yang menemani, mungkin ada yang boleh dibincang atau dibualkan.

Aku bawa bersama sebuah buku yang isinya tidak terlalu berat untuk dibaca. Dalam keadaan densha yang bergegar-gegar, berpusing-pusing juga mata ketika khusyuk membaca buku.

Ayat-ayat....

Aku tak begitu meminati shousetsu. Tapi berbeza dengan shousetsu ini. Walaupun telah mendengar komen-komen positif dari ramai orang, tidak tergerak hatiku untuk mendapatkannya. Sehinggalah seorang sahabat mengirimkannya padaku. Sanggup dia hantar dari jauh, mesti ada sesuatu yang istimewa yang ingin dikongsi. Masa ketika di dalam densha aku gunakan untuk menghabiskannya.


.........

Nilai yang diselit dengan bijak

Membaca bahagian pertama shousetsu ini sahaja telah memberikan aku gambaran tentang suasana bumi Mesir ketika natsu. Seolah-olah diri sendiri sedang berpijak di bumi Mesir. Penulis juga telah meggunakan istilah-istilah Arab secara minima tetapi berkesan, tidak lekang juga dengan pengajaran yang dipetik dari hadith dan Al-Quran.

Banyak lagi nilai-nilai positif yang bergerak bersama cerita shousetsu ini seperti adab berjiran, kisah persaudaraan dan lain-lain. Tetapi rasanya babak percintaanlah yang paling mengharukan. Koibumi juga adalah suatu kemestian di dalam ceritanya. Shousetsu ini bukanlah shousetsu jiwang karat, dan aku bersetuju ia dipanggil sebagai novel pembangunan jiwa.

Setelah membacanya aku rasa banyak yang boleh dicontohi dari watak utama shousetsu ini, Fahri. Walaupun ia watak rekaan dan ada yang mengatakannya sebagai terlalu perfect, sedikit sebanyak boleh menjadi moral booster agar terus berusaha mengislah diri. Aku tidak terkejut jika ada yang membaca novel ini berkali-kali. Boleh angau dibuatnya. Jalan ceritanya indah walaupun ada dugaan yang muncul di tengah jalan.

Kini aku juga telah menanam cita-cita untuk ke Mesir suatu masa nanti. Keinginan untuk mempelajari arabiago juga semakin tebal. Sangat berterima kasih kepada sahabat yang mengirim shousetsu ini, akanku pulangkan bila masanya tiba.

Bercinta dan saling menyukai itu ialah fitrah. Dan kita semua bercita-cita memiliki pasangan yang terbaik.

Tetapi jangan lupa cita-cita hakiki bagi setiap orang yang mengaku muslim. Ramai mengetahui apakah cita-cita tersebut tapi adakah kita betul-betul meyakininya?

Apa dia ye cita-cita itu?

Tsutzuku...

(UPDATE: Ulasan menarik di saifulislam.com. Mesti baca.)

Nota sisi:
1) densha = keretapi elektrik
2) natsu = summer, musim panas
3) mottai nai = wasteful, membazir
4) shousetsu = novel
5) arabiago = bahasa Arab
6) koibumi = surat cinta
7) chizu = map, peta
8) taiikukang = dewan sukan, dewan senaman
9) islah = pembaikan, improvement

Monday, November 17, 2008

Lesu...

Assalamu'alaikum,

Mindaku sedikit letih untuk menulis. Mungkin disebabkan shukudai yang agak bertimbun minggu ini terutamanya subjek application of computers. Peperiksaan pertengahan semester pula akan bermula awal Disember.

Bilik Komputer:Tempat minda bertarung


Menjelang senja di fumikiri

Sekarang betul-betul di penghujung aki. Walaupun makin sejuk, masih boleh meluncur dengan basikal kerana jalan raya belum beku. Maha Suci Allah, dalam sekelip mata alam ini akan bertukar wajah. Dengan izinNya air boleh beku dalam peti ais. Dengan iziNya juga bumi ini boleh beku tanpa peti ais.

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia. (Yaasiin:82)

Duit raya dari seorang sahabat,

Sahabat: Naim dah tengok filem Sang Murabbi?
Aku: Tak. Dah lama tak tengok filem.
Sahabat: Nanti ana(saya) hantar dvd. Ana beli lebih.
Aku:Ikuradesuka(berapa harganya)?
Sahabat: Tak perlu bayar. Anggaplah sebagai duit raya.


Duit Raya =)

Dah lama tak tengok filem. Dulu aku adalah penonton filem yang agak tegar, terutamanya filem aksi, fantasi dan perang. But I gave up watching films. Dan aku tak berhajat untuk meminatinya kembali. Tapi kali ni aku kena tonton juga. Bukan senang dapat duit raya =).

Filem ini berkisar tentang biografi seorang insan. Aku tidak mahu berbicara tentang budget filem tersebut, tapi aku mahu tekankan tentang nilai dan mesej yang cuba disampaikan.

Jadi, apakah nilai tersebut? Aksi tangkas seorang superhero yang tak mati ditembak? Tidak sekali. Anda perlu tonton untuk mengetahui lebih lanjut. Kisah suka duka seorang yang mewarisi tugas Nabi SAW. Dan bandingkanlah diri kita. Adakah kita juga sedang mewarisi tugas tersebut atau mengabaikannya?

Aku masih jauh dibelakang, tapi berharap agar tak ketinggalan keretapi. Anda pula???



Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi
Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi

Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu
Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu

Terik matahari
Tak surutkan langkahmu
Deru hujan badai
Tak lunturkan azzammu

Raga kan terluka
Tak jerikan nyalimu
Fatamorgana dunia
Tak silaukan pandangmu

Semua makhluk bertasbih
Panjatkan ampun bagimu
Semua makhluk berdoa
Limpahkan rahmat atasmu

Duhai pewaris nabi
Duka fana tak berarti
Surga kekal dan abadi
Balasan ikhlas di hati

Cerah hati kami
Kau semai nilai nan suci
Tegak panji Illahi
Bangkit generasi Robbani




Nota sisi;
1) shukudai = kerja rumah, homework
2) fumikiri = lintasan keretapi
3) aki = autumn, musim luruh

Monday, November 10, 2008

Jalan ke Jepun (Bahagian 4)

sambungan dari bahagian ketiga,

Aki 2006,

Ketibaan bulan September telah menyambut aki. Tetapi aki pada tahun 2006 agak panas berbanding tahun-tahun biasa. Itu kata majoriti nihonjin disini. Semuanya bahana fenomena global warming, itu pula kata berita-berita di televisyen. Suara aktivis-aktivis alam sekitar dan rancangan televisyen yang memupuk kesedaran akan bahaya pencemaran alam sangat menggalakkan ketika itu.

Risau juga memikirkan masalah global warming ni. Namun bagiku, tidak menjadi persoalan besar sama ada aki tahun itu terlalu panas atau tidak, kerana ia adalah aki pertama dalam hidupku. Di Malaysia cuma ada musim panas dan musim hujan(musim banjir?). Begitu juga musim buah. Mungkin boleh dimasukkan sekali musim jerebu. Tetapi pada aki kali ini juga jatuh bulan Ramadhan untuk tahun 1427 Hijrah. Buat pertama kalinya aku berpuasa Ramadhan di negara asing. Suasana Ramadhan adalah sederhana, tiada yang terlalu menarik untuk diceritakan.

Takbir Aidilfitri,
Pada malam 1 Syawal, aku dan warga Malaysia yang lain berkumpul untuk bertakbir. Kami membuat bulatan, dan sebelum kami mula, senpaiku meletakkan sekotak tisu di tengah-tengah. Aku tertanya-tanya apakah tujuan tisu itu. Rasanya tiada yang selsema. Kami pun mula bertakbir, dan beberapa seketika selepas itu sehelai demi sehelai tisu ditarik oleh segelintir dari kami. baru aku faham mengapa senpaiku membawa sekotak tisu bersama. 1 Syawal pula adalah hari sekolah dan kami tidak bercuti. Pada hari sabtu yang berikutnya diadakan jamuan kecilan.

Gathering Warga Tohoku,

Enam Negeri Tohoku


Beberapa minggu kemudian diadakan pula sambutan peringkat Tohoku di Yamagata. Tohoku ialah bahagian timur Honshu, meliputi enam ken(negeri) iaitu Fukushima, Miyagi, Iwate, Aomori, Akita dan Yamagata. Maka berkumpullah warga Malaysia di Yamagata untuk sambutan tersebut. Aku turut hadir walaupun sebenarnya hati rasa berat. Perjalanan ke Yamagata mengambil masa lima hingga enam jam dengan kereta. Walaupun aku tidak memandu tetapi sangat melenguhkan. Rombongan kami dari Akita adalah yang paling lewat sampai. Memang ramai warga Malaysia yang hadir, ada yang pernah aku jumpa ketika majlis suai kenal pelajar, tetapi ramai juga yang pertama kali. Sambil makan, kami bertukar-tukar cerita masing-masing.

"Brother H"
Sedang aku membawa diri dalam majlis makan-makan tu, aku ada ternampak seorang brother ni. Dia agak senyap dan tak banyak bercakap. Dia memperkenalkan diri, sebagai seorang senpai dari negeri Iwate. Kami berbual ringan. Kemudian aku hendak solat, dan kebetulan dia juga mahu solat. Di situ tidak ada surau, jadi kami menumpang bilik salah seorang warga Malaysia. Dia mengajak aku berjemaah lalu aku bersetuju dan dia menjadi imam. Selesai solat kami bertukar nombor telefon bimbit dan berpecah. Pada hematku ketika itu, tiada apa yang terlalu istimewa tentang pertemuan dengan brother tersebut. Tetapi sebenarnya brother ni adalah watak yang agak penting juga dalam kisah "Jalan Ke Jepun", kerana dia akan menjemput aku ke suatu bidang yang aku tak pernah fikir untuk menceburkan diri. Biarlah aku namakan saja dia sebagai "Brother H". Tidak banyak yang aku boleh cerita tentang perwatakan Brother H, tetapi anda anggap sahaja Brother H sebagai seorang yang cool dan best. Watak Brother H akan kembali dalam siri-siri yang akan datang.

Selesai majlis di Yamagata, kami harungi lebuhraya selama enam jam untuk pulang ke Akita. Kami tiba setelah lewat malam.

Dua musim bertembung
Pada pertengahan bulan November, hujan turun untuk beberapa hari, diiringi ribut petir. "Asyik hujan je, dah nak masuk fuyu ni", kata senpaiku Zarul. Kata orang, ketika hendak bertukar musim, cuaca akan jadi tak stabil kerana dua musim bertembung. Aku tidak pasti sejauhmana kebenarannya dari segi sains, tapi itulah kata-kata orang.

Selepas hujan tamat, terasa makin sejuk pula. Waaaah, dah nak fuyu? Tak sabar rasanya nak bergolek-golek dalam yuki. Dalam kelas nihongo, senseiku sering berkata, "Salji ni, hari pertama memang best, lepas tu mesti fed-up". Senpai-senpaiku juga berkata demikian, malah rakan-rakan nihonjin juga berpendepat begitu. "Yuki iyada"(benci salji), kata mereka. Tak apalah kawanku, aku mahu jadi jakun sebentar. Biarlah aku lihat dan insafi satu lagi kejadian alam. Semoga ia memberi manfaat kepada mereka yang betul-betul melihat sambil berfikir.

Bersambung dalam bahagian kelima...

Nota sisi;
1) aki = autumn, musim luruh
2) nihonjin = orang Jepun
3) senpai = senior
4) sensei = guru
5) nihongo = bahasa Jepun
6) yuki = salji
7) to-hoku = panggilan untuk kawasan utara Pulau Honshu
8) honshu- = pulau terbesar Jepun

Wednesday, November 5, 2008

Jalan Ke Jepun(Bahagian 3)

Sambungan dari bahagian kedua,

Natsu 2006,

Pertengahan bulan Jun, aku menduduki peperiksaan yang pertama. Ketika itu juga piala dunia bola sepak 2006 sedang berlangsung, sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pelajar-pelajar di sini. Ape pun syukur kerana aku boleh senyum dengan keputusan peperiksaan tersebut.

Sehinggalah tiba bulan Julai, kesejukan yang menggeletarkan badan selama ini beransur hilang. Cuaca makin panas, dan kemuncaknya dapat dirasakan pada awal bulan Ogos. Pada hujung bulan Julai bermulalah cuti musim panas Akita Kosen. Aku, Affir dan seorang lagi rakan dari Hokkaido bertolak dengan densha dari Akita, menuju ke barat Nihon. Maka bermulalah kembara kami yang pertama.

Dari Akita kami ke Nagaoka dan bermalam di tempat rakan. Kemudian meneruskan perjalanan ke Kyoto. Kami yang pada awalnya bertiga dah jadi berempat, kerana rakan kami Irfan turut serta. Dalam perjalanan ke Kyoto kami berhenti sebentar di Toyama dan Fukui kerana dua lagi rakan ingin turut serta. Tiba di Kyoto, berjumpalah kami dengan rakan-rakan dari sebelah barat nihon.

Peta Perjalanan
Keesokannya kami bergerak jauh lagi ke barat, ke Pulau Kecil Yuge. Kemudian ke Hiroshima. Selesai di Hiroshima bergerak kembali ke timur ke Osaka. Penat mata melihat bangunan tinggi di Osaka, kami berpindah pula ke Maizuru. Di sana ada pantai. Apa lagi, bermandi mandalah kami.

Setelah puas di Maizuru, kami bertolak ke Tokyo. Perjalanan bermula dengan keretapi pertama beberapa minit sebelum pukul enam pagi. Tiba di Tokyo lewat petang. Tak ingat berapa kali norikae. Aku tidur di Tokyo satu malam. Ramai kawanku yang ingin terus mengembara di Tokyo. But my body has reached it's limit. Apa yang ada dalam mindaku ketika itu ialah sebuah katil yang empuk.

Aku mengambil keputusan untuk kembali ke Akita. Sebelum pulang, kebetulan rakan Jepun sekelasku juga ada di Tokyo dan ajak berjumpa. Jadi aku jumpalah mereka sebentar. Rakanku Alan, menemani aku dan ketika hendak pulang ke Akita juga, Alan telah menghantarku hingga ke Tokyo Eki. Terima kasih Alan. Kalau tak mesti aku sabishii tahap kronik. Aku menaiki shinkansen pada waktu senja ke Akita. Ku sangka kerehatan menanti dalam shinkansen, tapi tempat duduk penuh. Aduh, berdirilah aku untuk tiga jam.

Malam itu aku tiba di Akita seorang diri. Dalam kepenatan aku gagahkan diri melangkah ke rumah senpai yang terdekat. Kemudian... faham-fahamlah.

Akita yang agak sunyi
Aku kembali ke Akita pada pertengahan bulan Ogos, beberapa minggu sebelum kuliah disambung semula. Tapi tak ramai warga Malaysia yang berada di Akita ketika itu. Sebahagian besarnya masih mengembara, ada juga yang pulang ke Malaysia.

Saki baki cutiku di gunakan untuk buat shukudai, dan bersiar-siar di kawasan berdekatan. Natsu yasumi berakhir pada hujung bulan Ogos. Bahang kepanasan juga sudah berkurang sedikit. Dan sedar tak sedar, kini telah memasuki bulan Sya'ban.

Bersambung dalam bahagian ke-empat.

Nota sisi;
1) natsu = summer, musim panas
2) yasumi = holiday, cuti
3) Nihon = Japan, Jepun
4) norikae = transit
5) sabishii = lonely, rasa sunyi
6) shinkansen = bullet train, keretapi peluru
7) eki = station
8) shukudai = homework, kerja rumah
9) senpai = senior

Thursday, October 30, 2008

Power Electronics

Assalamu'alaikum,

Sejuk. Walaupun fuyu belum tiba, kedinginannya cukup untuk menggigilkan badan. Ingat nak sambung kisah "jalan ke jepun", tapi aku tangguhkan dulu. Nak cerita benda akademik sikit.

Elektrik dan Elektronik: Sama tapi tak serupa?
Aku adalah lepasan sekolah teknik dalam bidang kejuruteraan elektrik & elektronik. Sejak mula bersekolah, aku tertanya-tanya apakah sebenarnya yang membezakan elektrik dan elektronik. Mengapa perlu diasingkan? Mengapa tidak elektrik sahaja? Bukankah kedua-keduanya memerlukan tenaga elektrik?

Mungkin ada berbagai jawapan untuk persoalan tersebut. Kita sedia maklum bahawa tenaga elektrik terhasil apabila pengaliran elektron berlaku. Kan dah dekat tu, elektrik dan elektron. Bagaimana pula dengan litar elektrik dan litar elektonik? Cuba lihat dua gambarajah di bawah. Yang mana satu adalah litar elektronik?


Jawapan: Litar elektronik ialah litar B, kerana memiliki diod. Jadi bolehlah disimpulkan, mana-mana litar elektrik yang mengandungi active component seperti diod atau transistor, maka litar itu boleh juga disebut sebagai litar elektronik. Cuma sebagai peringatan, elektronik adalah subset kepada elektrik. Semua litar elektronik adalah litar elektrik, tapi bukan semua litar elektrik adalah litar elektronik.


Power Electronics

Mungkin ku pernah sebut sebelum ini tentang sotsukenku dalam bidang power electronics. Jika dialih bahasa, maka ia bermaksud "elektronik kuasa". Jadi apakah first impression anda apabila mendengar perkataan tersebut?

Pertama kali aku mendengarnya, aku sangka ia hanyalah berkisar tentang litar elektronik biasa yang beroperasi dengan voltan tinggi. Tanggapanku itu tidak salah, tapi masih belum mampu menerangkan apa itu power electronics dengan lebih terperinci.

Untuk menerangkan dengan mudah, cuba anda bayangkan dalam suatu litar elektronik, ada satu suis. Kemudian suis ini ditekan sebanyak seribu kali atau lebih dalam masa satu saat. Itulah dia power electronics. Dengan kata lain, ia adalah bidang yang mengaplikasikan teknologi pensuisan berkelajuan tinggi dalam litar.


Mari tekan suis ni 1000 kali dalam satu saat...

Power Electronics pada mulanya tidak diklasifikasikan dengan nama nya sendiri. Dahulu ia adalah sebahagian daripada kejuruteraan elekrtonik secara umum. Namun pada tahun 1970-an, suatu bidang yang bertunjangkan power, electronics dan control ditubuhkan secara rasmi sebagai satu cabang baru kepada kejuruteraan elektrik dan elektronik. Kajian dalam bidang ini ini sangat menggalakkan lebih-lebih lagi setelah kemunculan komponen-komponen yang lebih mantap seperti power diode, power transistor, thyristor dan IGBT.

Aplikasi power electronics terdapat dalam hampir semua peralatan elektrik hari ini. Namun di Jepun, selain dalam pembuatan perkakas elektrik, sumbangan besar power electronics ialah pada sistem keretapi di Jepun. Perkembangan bidang power electronics membolehkan sistem kawalan motor elektrik pada keretapi Jepun diperhalusi. Jika dahulu, perintang bersaiz besar diperlukan untuk mengawal motor elektrik, tapi kini suis-suis berkelajuan tinggi digunakan sebagai ganti.

Setelah setengah tahun bermain dengan bidang ini, satu perkara yang aku sedar. Bidang power electronics terlalu banyak menggunakan gambarajah gelombang dalam menganalisis data. Berpusing-pusing juga mataku dibuatnya (@_@).

Bedah buku;
Sejak kebelakangan ni aku cuba mengulangkaji sirah Rasulullah SAW. Bukanlah pertama kali aku membaca dan cuba mengkajinya, tapi naqibku pernah pesan, belajar sirah kena banyakkan sumber. Sebab cara huraian dan tulisan setiap ulama mungkin berbeza.

Sebagai muslim, sejak kecil lagi aku telah diajar tentang Rasulullah SAW. Tapi entah kenapa, baru kini aku mula menghayati dan lebih memahami hakikat perjalanan hidup Rasulullah SAW. Akan ku nukilkan di lain waktu jika berkemampuan.

Tsutzuku...

Nota sisi:
1) fuyu = winter, musim sejuk
2) sotsuken = graduation research

Friday, October 24, 2008

Jalan ke Jepun(Bahagian 2)

sambungan dari bahagian pertama

Haru 2006,

Tiba saja di lapangan terbang narita, kami dibawa menuju Toko Hotel. Tiada orientasi khas kerana penerbangan kami lewat. Keesokan harinya kami semua berpecah ke kolej masing-masing. Aku sangat teruja bila menaiki shinkansen. Yalah, jangan kata menaiki, melihat bullet train pun tak pernah. Tiba saja di Akita, aku menggigil dengan lebih teruk. Akita lebih sejuk berbanding Tokyo. Agak kaget juga, kerana waktu solat di sini sangat berbeza mengikut musim. Keadaan makin mencabar tiga bulan kemudian apabila waktu solat subuh beransur awal hingga pada pukul 2 pagi. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih kan.Tapi tak lama kemudian aku dapat biasakan diri.

Selesai urusan di Pejabat dan Asrama, aku bertemu senpai bernama Zarul, kemudian dengan rakyat Malaysia yang lain di Akita. Selain Akita Kosen, ada juga rakyat Malaysia yang belajar di Akita University, malah bilangannya lebih ramai. Beberapa hari kemudian sesi kuliah pun bermula.

Jalan Ke Sekolah


Mencari identiti yang palsu
Aku mula bergaul, dan mula memahami perangai nihonjin serba sedikit. Untuk menjadi rapat dengan mereka bukanlah perkara mudah. Namun apa yang ketara, aku seolah-olah mahu men"jepun"kan diri sendiri tanpa berfikir baik dan buruknya. Mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Di antara rakan-rakan kelasku ada yang senyap dan sopan, ada juga yang sedikit "havoc". Cara berbual dan isi perbualan juga berbeza. Ada yang minat permainan video, sukan, dan lain-lain. Ada juga yang gemar berbual dan memperkatakan perkara yang tidak patut. Dalam kebanyakan perbualan, aku hanya mengikut arus. Walaupun sepatutnya aku diam atau memperkatakan yang baik-baik sahaja, kadangkala aku tersilap langkah.


Zaman sekolah menangah kali kedua

Tak lama kemudian aku sedar, kecenderangan untuk men"jepun"kan diri ni disebabkan oleh kemahuan untuk diterima oleh semua orang. Aku mahu diterima oleh semua orang di sekeliling, jadi secara tidak sedar aku cuba untuk meniru mereka. Tidak ada rakan senegara atau saudara seIslam dalam kelas. Kiri kanan depan belakang dan di penjuru, semuanya nihonjin(ada la student Laos seorang). Maka bertambahlah kecenderungan untuk men"jepun"kan diri sendiri. Aku seolah-olah mengalami suatu krisis identiti. Sepatutnya aku tidak perlu merasa desperate, mencari identiti yang palsu.

Sering terjadi apabila seseorang pergi ke tempat asing, dia akan mengikut cara dan budaya di tempat tersebut. Cara berpakaian, cara bergaul. Tidak menjadi masalah jika yang diikut itu adalah yang baik, tapi malang jika kita mengambil kesemuanya tanpa menapis. Tak dinafikan ada juga nilai positif dan Islamik dalam masyarakat Jepun, malah lebih baik dari mereka-mereka yang mengaku Islam di negara lain. Kebanyakan nihonjin menepati masa dan rajin bekerja. Kebersihan juga dititikberatkan, walaupun ada kekurangan di sesetengah tempat.

Sedar akan kesilapan, aku mula berusaha untuk menjadi lebih sederhana. Alhamdulillah, dalam ramai-ramai rakan kelasku, ada juga yang rapat dan suka berbual.


Ingin merantau,
Musim bunga diharungi dengan rasa ingin tahu dan ingin mengembara. Ketika cuti goldenweek pada awal bulan Mei, senpaiku membawaku berjalan-jalan sebentar di bandar Sendai. Tapi kurasakan masih tidak cukup. Memang jiwa sedang membara, ingin meneroka bumi sakura seluas-luasnya. Namun ku simpan hasrat itu untuk dua bulan, sehinggalah cuti musim panas bermula.

bersambung dalam bahagian ketiga..

Tsutzuku.....

nota sisi:
1) haru = spring, musim bunga
2) senpai = senior
3) nihonjin = japanese, orang Jepun
4) shinkansen = bullet train Jepun