Showing posts with label Merantau. Show all posts
Showing posts with label Merantau. Show all posts

Monday, September 6, 2010

Pergi Dan Balik

Assalamu'alaikum wbt,

Alhamdulillah, aku telah pulang bercuti di tanah air selama dua minggu, dan kini sudah kembali ke Nihon. Memang aku gembira dapat pulang, tapi perasaan ketika mahu kembali ke Nihon sangat bercampur baur. setsumeidekinai.

Seronoknya lagi ketika di tanah air, banyak masa diluangkan bersama keluarga. Sempat ke Johor dan Kuala Lumpur untuk suatu tempoh yang agak signifkan bersama ayah dan ibu. Diberi kesempatan untuk menyertai program Jalinan Mesra IPIJ, sempat juga berjumpa bekas rakan sekolah untuk urusan tidak rasmi, dan sempat juga berjumpa dengan bekas rakan sekolah untuk urusan bersama di masa hadapan.

Too fast. And now I am back here. Kembali ke bumi Allah bernama Nihon. Hatiku sebenarnya sudah lekat di tanah air Malaysia, tetapi digagahkan juga diri untuk kembali ke sini.


From Tokyo to Nagaoka. Moga dapat pulang lagi ke Malaysia dalam masa terdekat, insyaAllah.


Ruh Aidilfitri.
Aidilfitri pula makin hampir. Masih sering kedengaran lagu-lagu raya beralun kesedihan, ada juga yang berentak gembira tetapi tidak jelas tujuan dan makna.

Aidilfitri ialah hari bergembira dan bersyukur, setelah menang melawan nafsu sepanjang Ramadhan. Biarlah Aidilfitri kita dinisbahkan dengan apa yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan. Masih ada masa berbaki untuk Ramadhan kali ini, jangan biarkan ia berlalu begitu saja.

Tsutzuku...

nota sisi;
1) setsumeidekinai = tidak dapat diterangkan, unexplainable
2) nihon = Jepun
3) tsutuzku = bersambung

Friday, July 9, 2010

Pergi dan balik

Assalamu'alaikum wbt,

Shinkansen

Khamis lepas di waktu pagi aku ke kuliah, kemudian terus bergegas ke Tokyo untuk suatu urusan. Tokyo tidak berubah. Dengan lautan manusianya, kepantasan denshanya. Densha yang terus mengangkut manusia. Manusia yang tekun dengan kerjanya. Dari satu sudut sememangnya aku kagum dengan nihonjin ini, kerja tanpa henti. Tetapi bila aku cuba membayangkan sekiranya aku berada di tempat mereka, sungguh aku dapat rasakan jiwa yang kosong. Biar kocek penuh berisi harta, matlmat hidup kabur.


Shinookubo; turut digelar "pekan korea" kerana ramai orang korea

Sempat singgah sebentar di masjid shinookubo untuk solat maghrib dan Isyak. Masjid ini strategik kerana kedudukannya yang hampir dengan yamanotesen. Ada jemaah tabligh berprogram di sini, jadi sempatlah aku ikut majlis bayan mereka selepas maghrib sementara menunggu Isyak. Apa yang diperkatakan bukanlah pertama kali didengar, tetapi lumrah kita manusia sering lupa, lebih-lebih lagi apabila disibukkan dengan urusan kehidupan.

Bedah buku
Alhamdulillah, sempat bedah satu buku yang aku nak susume pada para pembaca semua.



Bukan sekadar membaca, tetapi berubahlah kepada tadabbur.

"Baca Al-Quran ialah membaca hanya dengan lidah. Ayat-ayat Al-Quran disebut mengikut hukum tajwid dan dilagukan mengikut kaedah-kaedah taranum. Maka akan terserlah keindahan dan ketinggian nilai seni ayat-ayat al-Quran itu. Pembacanya akan terhibur, beroleh ketenangan jiwa dan kepuasan yang tersendiri di samping ganjaran pahala dan fadilat surah-surah tertentu. Manakala tadabbur al-Quran pula ialah membaca dengan lidah, akal dan hati. Lidah memastikan bacaan dengan tartil, akal mengambil pemahaman makna dan hati mengambil pengajaran untuk dijadikan panduan. Maka akan terserlah al-Quran sebagai kitab hidayah dan mukjizat yang sarat dengan khazanah-khazanah yang tidak ternilai harganya. Inilah asas para ulama dan ilmuwan pada zaman keagungan Islam membangun suatu tamadun lahiriah dan rohaniah yang tiada tolok bandingnya."

Jika ditanya pula pada pada diriku, apa yang aku faham dengan tadabbur, ialah MENGAITKAN ajaran dalam Al-Quran dengan diri sendiri. Mudah-mudahan bergetar hati ini apabila berdamping dengan Al-Quran.

Pelbagai gelagat umat Islam terhadap Al-Quran dapat dilihat hari ini. Ada yang membiarkannya suci dalam debu(dibiarkan berhabuk tanpa dibaca). Ada yang membaca Al-Quran untuk tujuan tertentu sahaja.

Sudah tiba masanya kita kembali menjadikan Al-Quran gendouryoku proses islah dan tajdid umat masa kini. Biarpun majoriti kita bukan ahli dalam ilmu Al-Quran, kita kena ubah persepsi lapuk terhadap Al-Quran. Kita dianjur supaya membaca al-quran dengan tartil dan suara yang merdu, tetapi sentiasalah juga bertadabbur, bukan lagi melihatnya semata-mata dari sudut seni suara.

Tsutzuku...
1) densha = keretapi
2) gendouryoku = driving force
3) nihonjin = orang Jepun
4) susume = syorkan
5) shinkansen = keretapi laji Jepun
6) islah = pembaikan
7) tajdid = pembaharuan

Thursday, March 18, 2010

Pulang seketika, kembali lagi....

Assalamu'alaikum wbt,

Aku telah pulang bercuti ke tanah air selama sembilan hari awal bulan ini. Sembilan hari saja? "mottai nai", kata sesetengah orang. Biarpun kekurangan dari segi kuantiti, aku cuba meningkatkan kualiti masa bersama orang di sekeliling, keluarga dan kenalan. Sempat juga berjumpa kakak iparku, sebelum ni dah jumpa tapi belum berstatus demikian. Alhamdulillah. Seronok mendapat ahli keluarga baru. Mudahan-mudahan bertambah lagi lepas ni.


Belajar cara menyediakan ketam dari mama



Beli dulu, insyaAllah baca kemudian

Seperti biasa di kesempatan balik, aku akan cuba dapatkan sebilangan bahan bacaan dan top-up barang-barang dapur. Masa pergi sekolah adik aku kat aloq staq, aku singgah kat Pustaka Mukmin, kat Sahab Perdana, borong sedikit bahan bacaan untuk dibawa pulang. Masih ada buku-buku yang dibeli sebelum ini tetapi belum sempat dihabiskan. Tapi senpai aku kata "beli je dulu".

Mengapa aku masih di sini?
Bulan depan cukuplah empat tahun aku di Nihon. Hatiku berbisik, menyuruh supaya kembali secepat mungkin ke tanah air. Tetapi kita semua ada perancangan. Ada hikmah yang mahu dikutip di bumi ini. Ada generasi yang mahu ditinggalkan di bumi ini. InsyaAllah selepas itu, aku akan pulang, untuk meneruskan rancangan lain pula. OPTIMIS dengan apa yang sudah dirancang.

Penang International Airport

Tapi siapa tahu, jika Allah mahu aku kikoku lebih awal. Sedangkan ajal maut kita sendiri juga tidak dapat diawal atau dilewatkan biar sedetik. Di bumi mana kita akan mati, kita juga tiada mengetahui.

Tetapi salahkah kita untuk merancang? Ya Allah ya Rahman ya Rahim, teguhkanlah langkahku dan sahabat-sahabat ku....

tsutzuku....

nota sisi;
1) mottai nai = rugi
2) nihon = Jepun
3) kikoku = pulang ke negara asal
4) gakusei = pelajar
5) senpai = senior
6) tsutzuku = to be continued

Thursday, February 18, 2010

Perjalanan 1000 batu

Assalamu'alaikum,


Chizu de gozaimasu

Minggu lepas aku bermusafir empat hari, atas urusan IPIJ dan ziarah sahabat. Semenjak dapat unten menkyo Jepun, asyik terasa waku-waku untuk memandu. Destinasiku kali ini ialah Sendai, Hachinohe, Morioka dan sebuah bandar di Ibaraki-ken.

Kali ni aku sewa kereta, maklumlah keretaku sekarang agak uzur, aku khuatir ia tak mampu bertahan perjalanan jauh. Harap-harapnya boleh dapat kereta yang lebih sesuai untuk perjalanan jarak jauh suatu masa nanti, ameen.


Menongkah jalan mencari cahaya



Tauke Warung Kampung. Lawa kete bang....

Aku sempat bermalam di rumah tauke warung kampung di Sendai. Banyak cerita dan ilmu dikongsi. Paling menarik ialah kisah tentang "dunia tanpa dimensi masa". Macam mana tu? Susah untuk akal kita capai, tapi aku rasakannya ia bukan satu perkara mustahil. Sendai adalah salah satu tempat berstatus bandaraya di Nihon, banyak kereta dan prasarana. Tapi tidak terlalu sesak, just a nice place to live I think.


Going to a cold place... singgah di tempat cmusafir

Semasa melalui bumi Morioka dan Hachinohe, persekitaran masih keputihan walaupun tidak banyak yuki turun. Dan suhunya nyata lebih rendah dari Nagaoka. Ketika bertolak dari Morioka di waktu pagi tanganku kecut dan kebas kerana stereng kereta terlalu sejuk. Kalau waktu natsu stereng terlalu panas pula.



Bermalam di rumah Nasrullah


On the way to Ibaraki



Balik....

nota sisi:
1) chizu : peta
2) unten menkyo : lesen memandu
3) waku-waku: excited
4) yuki: salji
5) nihon : Jepun
6) natsu: musim panas


Sunday, October 4, 2009

Rindu Bau Pohon Tin

Assalamu'alaikum,

Aku sempat singgah di Toyama dan Nagoya sebelum pulang ke Malaysia bulan Ogos yang lepas. Perjalananku dengan densha selama beberapa jam, dengan izin Allah juga memberi aku ruang untuk membedah lagi buku ketika dalam perjalanan.


Going home



Rindu Bau Pohon Tin,

Catatan pengembaraan di bumi syam(bukan aku yang mengembara)

Asalnya ia adalah himpunan catatan Abu Saif ketika berkelana di bumi Jordan dan ketika berprogram di Qatar. Kebanyakannya ada ditulis sebagai artikel di blog Saifulislam.com, tetapi membaca sambil memegang sebuah buku lain rasanya dengan membaca sambil merenung skrin pasokon.

Aku masih ingat ketika program Jalinan Ukhuwah di Niigata, kata-kata Mr Khaled dari Mesir dalam kuliahnnya. "Kita di sini bukan kerana kita yang terbaik, tetapi kerana kita dipilih Allah." Dipilih untuk berada di bumi asing, sambil memegang amanah untuk menuntut ilmu dan menolong agama Allah. Ia adalah ujian sebenarnya, bukan sekadar nikmat. Sedangkan ramai manusia yang tidak terpilih untuk berada lama di lapangan akademik. Ramai yang lebih cepat terjun sebagai syakaijin, ke tengah-tengah gelora masyarakat dengan cabaran yang lebih berat.

Sedikit sebanyak perlulah kita sedar, tanggungjawab di lapangan akademik, apatah lagi di luar negara. Tanggungjawab menuntut ilmu untuk membantu agama Allah. Terlalu sedikit amalku untuk agama ini. Kita menyeru diri untuk membantu agama Allah, tetapi sebenarnya kita menyeru diri untuk membantu diri sendiri. Tolong agama Allah bermaksud menolong diri sendiri. Lari dari menolong agama Allah, yang rugi adalah diri kita.

Dengar khabar Abu Saif akan tulis kompilasi catatan travelog yang baru.

Tsutzuku...

Nota sisi;
1) densha = keretapi
2) syakaijin = anggota masyarakat yang independent(boleh berdikari tanpa sokongan penjaga atau pihak ketiga)
3) pasokon = komputer

Sunday, September 27, 2009

Syawal kali ini...

Assalamu'alaikum,

Dah masuk syawal. Ramadhan 1430 dah berlalu. Gundah gulana juga memikirkan hari-hari yang mendatang. Kehidupan kita selepas Ramadhan menggambarkan sejauh mana Ramadhan yang dilalui memberi kesan pada diri.

Aku ingin menyambut 1 Syawal di tempat ku bermastautin iaitu di Nagaoka. Tapi ada keperluan yang menuntut aku membawa diri ke tempat lain . Bukan saja-saja mahu memenatkan diri sempena Aidilfitri.


Peta Perjalanan



Keretapi malam bernama kitaguni

29 Ramadhan, aku dan batuterang bertolak dari Nagaoka dengan densha malam. Nama densha ni kitaguni. Matlamat kami ialah Kobe. Kami tiba di Osaka keesokan paginya. Tiba saja di eki, kami mengambil densha ke masjid kobe. Kali kedua aku ke masjid ini. Imam orang Arab, Mesir kalau tak silap. Dari pengamatan, majoriti muslim yang hadir bersolat Aidilfitri adalah warga Indonesia.


Masjid Kobe Revisited

Kami bergerak ke Suzuka keesokan harinya, untuk bertemu beberapa orang. Sempat solat subuh di Mie Masjid. Masjid ni baru dibuka tahun ini. Senpai aku pesan, nak bina masjid bukan masalah besar, tapi nak cari orang untuk datang masjid adalah cabaran berat zaman sekarang ni.


Masjid Mie

Di tempat aku Nagaoka juga, kami sedang berusaha untuk memilik masjid sendiri, supaya segala hal berkaitan komuniti Muslim dan da'wah Islam boleh ditumpukan di sini.

Silalah ziarah ke blog nagaoka masjid disini.

Tsuzuku...

nota sisi:
1) tsutzuku = to becontinued

Tuesday, June 2, 2009

Minggu keemasan

Assalamu'alaikum,

kokubang


Shiken di sekolah baru ni lain sikit. Kalau di sekolah lama dulu, satu minggu ditetapkan khas untuk shiken. Maka semua pelajar akan menempuhi minggu tersebut dengan pelbagai ragam. Ada yang tak tidur berhari-hari untuk benkyou. Apa boleh buat, hari ni dua ketul, esoknya pula beberapa ketul lagi menanti, hinggalah selesai satu minggu. Tapi di sekolah baru, shiken terpulang pada sensei, dan lazimnya memang akan ada ruang untuk setiap subjek. Minggu ni dua, minggu depan pulak tiga. Begitulah. Cuma silibus di sekolah baru ni, lebih luas dan susah, jadi bukanlah bermakna aku boleh goyang kaki.

Cuti golden week

Minggu keemasan

Setiap kali awal bulan Mei, Jepun akan ada cuti yang dipanggil "golden week", biasanya lebih kurang empat atau lima hari. Aku pun tak tau kenapa dipanggil golden week tapi boleh rujuk sini untuk maklumat lanjut. Dan pada golden week yang lepas aku telah ke Kannonzaki di Kanagawa-ken untuk menyertai golden week gathering IPIJ. Alhamdulillah, dengan tema al-mu'allim, peserta diajak merenung kembali kepentingan sirah Rasulullah s.a.w. dan beberapa prinsip kejayaan baginda untuk diambil pengajaran dan diaplikasikan.


Peta perjalanan

Al-Mu'allim

Orang barat juga tidak ketinggalan mengkaji sirah Nabi s.a.w. Antara sebabnya ialah.... simply because Muhammad s.a.w. is the greatest man! Mereka mengkagumi baginda, biarpun jika mereka tidak menyukai baginda. Seorang penulis barat Michael A. Hart di dalam bukunya menulis " he was the only man in history who was supremely successful on both the reliegious and secular levels."

Bagi kita yang telah melafazkan syahadah, perlu lebih dari itu. Mengimani para Rasul adalah salah satu dari komponen iman, jika rosak maka rosaklah semuanya. Ibarat susunan domino, jatuh satu, maka jatuh semua. Adalah suatu yang janggal, apabila seseorang berkata dia cintakan Islam tetapi dia tidak kenal, atau tiada usaha mengenal manusia yang mengajar Islam yang dicintainya. Mengkaji sirah Rasulullah S.A.W. itu ialah mengkaji Islam secara praktikal.

Aku ingin berkongsi kata-kata Said Ramadhan Al-Buti di dalam bukunya fiqh al-sirah;
"....hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah S.A.W." "Tidak syak lagi bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad S.A.W. ialah memahami semua sudut kemanusiaan."

Zaman muda ku,
Entah kenapa sebelum datang ke bumi sakura, persepsiku jauh berbeza. Apabila disebut Rasulullah Muhammad S.A.W. ,yang berlegar di fikiranku hanyalah Maulidur Rasul dan sambutan Ma'al Hijrah. Dan sekali sekala teringat peristiwa Israk Mikraj. Aku pun tak berapa ingat apa yang dah diajar di sekolah berkenaan sirah. Mungkin salahku juga sebab tak serius belajar. Atau silibusnya banyak lompat-lompat?

Bagi pengunjung-pengunjung orenojinsei, inginku jemput membaca sesuatu. Tulisan yang telah mengubah persepsiku terhadap sirah. Klik sini

Unten Mengkyo,
Sedang berhajat untuk mendapatkan unten mengkyo Jepun, cuma prosesnya sedikit rumit. Mustahil untuk mendapatkannya dalam masa terdekat tapi memang sangat berhajat.Doakan aku. Last but not least untuk yang akan bershiken, ganbarou!

Tsutzuku...

Nota sisi;
1) shiken = peperiksaan
2) unten mengkyo = lesen memandu
3) benkyou = study
4) Mu'allim = guru, teacher
5) kokubang = papan hitam, blackboard
6) sensei = guru
7) ganbarou! = ayuh berusaha ! <---- (lebih kurang macam ni lah dalam bahasa Melayu.)

Wednesday, April 29, 2009

Jalan Ke Jepun (Bahagian 9)

Sambungan dari bahagian lapan,

natsu 2007

Selang beberapa hari natsu yasumi bermula, aku dan senpaiku Opi mengorak langkah menuju ke Miyagi-ken untuk menyertai program summer camp di sana. Sebab nak jimat duit, kami pilih mengembara dengan 18 kippu. 18 kippu adalah sejenis tiket murah, satu tiket ada lima cop, setiap cop sah untuk digunakan selama satu hari. Maknanya, dengan satu cop kita boleh naiki densha biasa selama mana kita mahu. The tough thing is, its tiring. Untuk ke tempat program mengambil masa lebih enam jam, jika bergerak dengan shinkansen mengambil sekitar dua jam setengah ke bandar Sendai. Perbezaan yang agak ketara, but I take it as an experience. Alhamdulillah.



Penat melalui landasan besi, tiba juga kami di pekan shiroishi, pekan terdekat dengan tempat program. Dari situ kami bergerak ke tempat program dengan bas. Di tempat program kami tidur dalam khemah, berlantaikan tanah berbumbungkan langit. Pada pengisian pertama kami diingatkan agar membetulkan semula niat menghadiri program.

Ya, jika mahu dicari kekurangan dari segi teknikal, semestinya ada, tapi ia adalah subjektif dan apa yang lebih penting ialah bagaimana cara fikir dan cara lihat kita ketika menghadiri majlis ilimu. Seperti kata Abu Saif, erti hidup pada memberi. Menyertai sebagai penerima sahaja, kuranglah merasai erti hidup. Summer camp 2007 adalah program pertama aku hadiri, sebagai peserta. Belum pernah aku sertai program seumpamanya sebelum ini.


My Turning Point


Empat hari berlalu begitu pantas, dan Summer Camp berada di penghujungnya. Angin sepoi di hutan cukup menyegarkan. Pada hari terakhir aku sempat berbual sebentar dengan brother H. Dia bertanyakan khabar tempatku di Akita. Tiada perbualan hangat, satu soalan dibalas satu jawapan. Kemudian dia kata kat aku,

"Naim tak mau join ke? Bagus masuk persatuan ni. Boleh belajar macam-macam, dapat banyak pengalaman. Bila dah kerja nanti pun banyak manfaat."

Brother H menjemputku ke dalam IPIJ. Aku diam seribu bahasa, bukan kerana terkejut. Tapi kerana aku bukanlah jenis manusia yang cenderung ke arah berpersatuan. Aku ingin berkata kepada brother H "Tak apelah, saya tak minat", tapi entah kenapa kata-kata itu tersekat di dalam hati saja. Mungkin kerana aku segan dengan brother H, agak berat untuk aku menolak ajakannya, he is kind to me. Aku cuma kata "Tengoklah dulu macam mana". Perbualan itu masih terpahat di ingatanku, kerana ia adalah turning point bagi diriku. Tak lama kemudian aku terima ajakan brother H.

Muhasabah kembali perjalanan yang telah dilalui, boleh buat aku senyum keseorangan. Aku sendiri tidak sangka aku akan jadi seperti apa yang aku jadi sekarang, hanya kerana menerima pelawaan untuk memasuki sebuah persatuan. Segala puji hanya bagi Allah. Seperti mana aku tidak sangka aku akan belajar di Nippon. Ada yang menggabungkan diri dengan harakah Islam melalui dakwah dan tarbiyyah. Ada yang hanya mengikut kawan pada permulaan. Mungkin ada juga kerana sukakan persatuan sahaja. Bagiku, "pintu masuk" tidaklah begitu penting, apa yang penting kita perlu mendapatkan kefahaman setelah menggabungkan diri, dan mengikhlaskan niat. Contohnya biarlah jika kita hanya mengikut kawan pada permulaan sekalipun, tetapi pastikan kita faham juga akhirnya. Dan di atas kefahaman itu kita perlu istiqamah dengan amal dan tarbiyyah, agar tidak gugur.

Syurga juga ada beberapa pintu. Ada pintu jihad, ada pintu rayyan bagi mereka yang termasuk dari kalangan orang berpuasa. Kita? Fikir-fikirkanlah. Harganya mahal, tapi modal yang diusahakan masih terlalu sedikit.

Kadai yang tinggal ialah untuk istiqamah. Memulakan saja belum dapat menjamin apa-apa. Cabaran sepatutnya bertambah berat dari hari ke hari. Aku takut jika realiti diriku nanti, tidak seperti apa yang aku tuliskan hari ini.

Aku pulang dari summercamp selepas hari keempat. Letih satu badan. Internship akan bermula kurang dari dua minggu. Asramaku di Akita Kosen agak lengang. Nihonjin semua pulang ke rumah bercuti. Ryugakusei juga ramai yang bercuti di negara masing-masing. Ada juga yang makan angin. Ada rakan-rakan PPKTJ ku yang mahu ke Hokkaido. Mereka ingin singgah sebentar di Akita. Aku menanti kedatangan mereka...

bersambung dalam bahagian ke sepuluh ......

nota sisi:
1) kadai = assignment, tugasan
2) ryugakusei = pelajar asing, foreign student
3) natsu yasumi = cuti musim panas
4) nippon = jepun
5) densha = keretapi
6) shinkansen = keretapi laju Jepun
7) kippu = tiket

Tuesday, March 10, 2009

Out To Nowhere

Assalamu'alaikum,

Selesai juga ronbun. Maka cukuplah syarat untuk aku tamatkan pengajian di Akita Kosen. Kini aku cuma menantikan hari untuk majlis graduasi.

Sekarang aku berada di bilik b302. Bercuti sambil bertugas dan belajar secara tidak rasmi. InsyaAllah bulan hadapan akan berpindah sekolah dan tempat tinggal. Tapi aku masih belum berjaya mendapatkan rumah sewa. Moga semuanya lancar.


Akebono (klik)



Di toudai


fune

Akan bersambung jika berkemampuan dan berkesempatan. InsyaAllah.

Tsutzuku...

nota sisi;
1) ronbun = tesis
2) toudai = rumah api
3) fune = kapal
4) tsutzuku = bersambung

Thursday, January 22, 2009

Masa Umpama Nyawa

Assalamu'alaikum wbt,


Buat apa tu dik?

Terbaca di blog seorang sahabat berceritakan tentang kisah sekolah lama. Rasa rindu pula. Sayangnya kita tidak boleh memutar masa ke belakang. Tetapi perkara lalu boleh dijadikan pedoman untuk meneruskan hidup.

Teringat pula kata-kata ketua pelajar sekolah lama ku di Kuala Lumpur. Katanya "masa itu nyawa", kerana masa yang berlalu, manusia tak dapat peroleh dengan apa cara sekalipun. Emas pun tak dapat membelinya. Ibarat nyawa kita, apabila telah dicabut, maka tiadalah ia kembali, kecuali dengan kehendak Allah SWT.


Sambung cerita Winter Gathering...

Ikut Tuan Pengarah dari belakang


Team Roadbuilder. Memberi itu memang manis(gambar ambil dari blog Kak Az)

Ketika sesi "masa umpama pedang" Winter Gathering yang lepas, seorang sahabat telah berkongsi satu analogi yang menarik berkaitan pengurusan masa. Dia memberikan contoh sebuah bekas, batu besar, batu kecil dan pasir. Saya ingin menambah satu benda lagi iaitu debu.

Ruang dalam bekas = masa yang kita ada
Batu besar = perkara penting dan urgent
Batu kecil = perkara penting tetapi tidak urgent
Pasir = perkara bermanfaat, tetapi tidak penting dan tidak urgent
Debu = Perkara tidak bermanfaat, apatah lagi penting dan urgent.

Andaikata kita dikehendaki mengisi bekas tersebut dengan tiga jenis benda di atas, yang manakah patut diisi dahulu? Jika kita isi dengan banyak pasir, kemudian dengan batu besar maka sedikitlah batu besar yang dapat diisi, kerana batu besar tidak dapat menyelit di celah-celah pasir itu.

Lain kes pula jika kita isi dahulu bekas itu dengan batu besar hingga penuh. Kemudian diikuti dengan batu kecil. Batu-batu kecil itu serba sedikit akan memenuhi ruang-ruang diantara batu besar. Diikuti pasir, serba sedikit dapat memenuhi baki ruang-ruang yang tertinggal. Akhirnya, bekas itu berjaya diisi dengan ketiga-tiga perkara secara efisyen, tanpa meninggalkan ruang kosong yang tidak diisi. Debu pula? Jauhkanlah dari debu-debu ini. Ia hanya akan merugikan. Tapi realitinya, terlalu banyak debu yang wujud hingga mencuri sedikit sebanyak ruang di dalam bekas.

Alangkah baiknya jika kita dapat menanam pesan Nabi S.A.W. di dalam hati kita.

"Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya."

(Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.)


Procrastination


"Procrastination is attitude's natural assasin. There's nothing so fatiguing as an uncompleted task."

Sejak kembali dari Winter Gathering juga, aku sedang cuba memanfaatkan daily planner sebaik-baiknya. Alhamdulillah, memang dapat rasa kelainan. Kurang masa yang terbazir. Mudah juga untuk muhasabah balik apa yang telah kita lakukan setiap hari.

Zaman sekarang, mungkin bagi mereka yang sudah jelas dengan matlamat hidup sekalipun, seringkali dilekakan oleh banyak perkara. Hanya dengan sebuah peti televisyen sekalipun, rancangan harian kita boleh musnah. Bukanlah aku bermaksud kita tak boleh tengok TV, tapi kena bijaklah kan. Pun begitu, hakikatnya kita sering terbabas, betul tak? =). Termasuklah diri hamba yang lemah ini.

nota sisi
1) procrastination = sikap menangguh kerja

Wednesday, January 7, 2009

Cerita tak rasmi winter gathering...

Assalamu'alaikum wbt,

Seketika telah berlalu sejak winter gathering yang lepas. Banyak yang boleh dikongsi dari program tersebut tapi aku tangguhkan dahulu.


Sasaran Cuti Musim Sejuk



Densha malam ke Toyama

Sebelum pulang ke Akita, aku berkesempatan singgah di Nagaoka Kosen, dan bertemu dengan zul, dhuan, yeh dan batuterang. Dalam bilik Zul ada banyak juga buku-buku yang memikat mata. Aku capai sebuah buku yang aku kira tidak berat untuk dibaca.


Sehari suntuk...

Buku berkisar tentang Sultan Muhammad bin Murad, yang digelar al-fateh bermaksud "pembuka". Ia tidak ditulis seperti sebuah ronbun yang penuh maklumat-maklumat halus. Penceritaannya lebih ringan dan mudah dihadam, memadai untuk aku hayati usaha-usaha Sultan Muhammad Al-Fateh dalam memimpin tenteranya menakluk Constantinople.

Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Membacanya memberi gambaran ringkas urutan-urutan peristiwa dan tindakan sepanjang misi membenarkan janji Rasulullah S.A.W. itu. Percubaan-percubaan awal menakluk Constantinople, kehidupan Sultan Muhammad ketika kecil, usaha mengislah tentera dan rakyatnya, memanfaatkan teknologi meriam dari seorang bernama Urban, bertindak di luar pemikiran musuh. Syarat kemenangannya ialah Raja yang baik dan tentera yang baik

Bagaimana pula dengan kemenangan Islam di akhir zaman? Apakah syaratnya?......


Orang Turki dan budaya membaca,
Lama juga tak bedah buku di orenojinsei. Sebut tentang buku, aku ingin berkongsi pengetahuan yang disampaikan oleh speaker Winter Gathering yang lepas iaitu Ustaz Ramadhan.

Kita sedia maklum setelah Khilafah Uthmaniyyah runtuh pada Mac 1924, Turki melalui proses pembaratan yang menyeluruh. Banyak undang-undang dan larangan diadakan untuk menyekat syiar Islam. Azan dalam bahasa arab dimansuhkan, huruf arab diganti secara total dengan huruf rumi. Semuanya agar tidak ada lagi generasi yang berpegang dengan Islam secara keseluruhan.

Namun kita lihat hari ini, apa yang dirancang oleh musuh-musuh belakang tabir dan golongan kemalist itu tidaklah terjadi sesempurna seperti yang mereka harapkan. Kini di Turki secara kasarnya orang Islam boleh dibahagi kepada dua golongan. Yang pertama ialah mereka yang memisahkan agama dari kehidupan. Yang satu lagi ialah mereka yang masih beriltizam dengan ajaran Islam seboleh mungkin. Yang diatas pagar, susah nak jumpa.

Mungkin kita tertanya-tanya, setelah Turki melalui proses pembaratan yang melampau, malah angkatan tentera dan sebilangan besar kumpulan pemerintahnya juga berotak sekular, seruan-seruan Islam di sana masih tidak dapat dihapus secara total. Mengapa? Di Turki tidaklah mudah bertemu majlis-majlis ilmu secara terbuka. Apatah lagi amal-amal lain yang bersangkutan syiar Islam.

Akan tetapi orang Turki suka membaca. Budaya membaca menjadi salah satu faktor, pencinta-pencinta Islam di sana terus mendapat tarbiyyah dan suntikan semangat untuk istiqamah dengan perjuangan mereka.

Kepada diri saya dan pembaca-pembaca orenojinsei, tanamlah budaya membaca. Semoga menjadi salah satu usaha pembaikan dan membina kesedaran diri, ke arah masyarakat dan kesatuan yang mantap. Ini perlu untuk kepentingan jangka masa panjang. Hari ini kita lihat saudara-saudara di Palestin, terutamanya di Gaza terus dan terus dizalimi. Kita mampu mengutuk, mengecam, berkorban harta, memboikot, dan berdoa. Teruskan usaha masing-masing. Tapi tidak mahukah kita bina negara dan organisasi yang betul-betul ikhlas membantu mereka atas dasar jihad?

Nota sisi:
1) densha = keretapi
2) ronbun = tesis

Tuesday, December 9, 2008

Peluang Keemasan

Assalamu'alaikum,

Salam Aidil Adha. Tiada kisah orenojinsei kali ni.


Pagi 10 Zulhijjah


Jemputan ke arah kebaikan....




Sedar tak sedar dah bulan Disember. Lagi dua minggu fuyu yasumi. Apa yang menarik pada fuyu yasumi kali ni? Majoriti nihonjin mungkin akan berpenat lelah untuk Krismas dan tahun baru. Tapi saya ada rancangan lain. InsyaAllah akan mengembara ke Toyama kali ini.

Winter Gathering 2008 akan membicarakan tentang peranan dan cabaran mahasiswa masa kini. Speaker jemputannya diterbangkan dari Malaysia. Antara slot-slot kuliah yang akan diadakan ialah
  • Islam Fobia

  • Peranan Mahasiswa

  • Cabaran dan Realiti Mahasiswa

  • Jalan Penyelesaian dan Ciri-ciri Mahasiswa Cemerlang

  • Mindset Mahasiswa Cemerlang dan Hala Tuju Pasca Mahasiswa

Wow. Tajuk-tajuk dah best. Pengisiannya pula? Kena datanglah baru boleh rasa. Bagi yang menyertai hingga hari kelima, ada dua slot tambahan.
  • Peranan Pendakwah Masa Kini

  • Asas Perniagaan Internet, Jangan Takut! (Klik sini untuk maklumat lanjut)


Hanya 1000 yen semalam termasuk makan dan minum
1000 yen semalam? Kalau lima hari empat malam jadi 4000 yen. Hanya dengan sedikit wang perbelanjaan dan kesungguhan, kita berpeluang untuk menyertai majlis ilmu yang bermanfaat. =). Di samping kuliah ada juga aktiviti luar yang diatur. Pernah dengar aruku ski? InsyaAllah kita akan berpeluang mencubanya ketika program nanti. (kalau ada yuki)

Di nihon ni memang mudah untuk bertemu karaoke, bowling, dan berbagai-bagai lagi, tapi jarang sekali kita berpeluang untuk sertai majlis-majlis ilmu. Kadang-kadang rasa hairan juga, kita menghabiskan bermang-mang yen untuk ryokou, beli baju, snowboard dan macam-macam lagi. Tapi jarang kita berbelanja untuk perkara yang membawa kebaikan dunia dan akhirat walaupun tidak memerlukan kos yang tinggi. Adakah kita mahu melepaskan peluang ini? Semestinya tidak bukan?

Fuyu yasumi lewat? Tak dapat join penuh?
Tak perlu risau. Jika tak dapat datang pada hari pertama, boleh datang pada hari kedua atau ketiga. Dan jika tak dapat bersama hingga akhir program kerana ada urusan, boleh pulang lebih awal. Saya dimaklumkan akan ada AJK pengangkutan yang akan menjemput dan menghantar peserta dari tempat program ke eki terdekat.


Nak join tapi rasa segan? Tak ada kawan yang ikut?
Tak perlu segan. Kerana yang hadir ialah manusia-manusia biasa jugak =). Ini adalah satu peluang meluaskan kenalan. Tak ada kawan yang ikut? Tak mengapa, kita boleh buat kawan baru. Dan lebih meriah jika dapat mengajak sekali rakan-rakan yang lain.

Atau sudahkah anda bertanya dengan rakan-rakan anda? Mana tahu jika mereka sudah pun mendaftar.

Where do we start?


InsyaAllah pada hari pertama 24 hb 12 ini, akan mula berkumpul di Toyama eki sekitar satu petang. Kemudian akan bertolak ke Chigaki eki. Dari sana pula akan bertolak dengan bas ke tempat program di Tateyama. Maklumat lanjut boleh diperoleh dari laman web program.


Rasa nak pergi, tapi nak tanya dengan lebih lanjut...?
Jika anda ada sebarang pertanyaan, boleh hantarkan email kepada aktiviti_ipij[at]yahoo.com

Masih berasa segan? Boleh juga bertanya terus pada saya melalui yahoo messenger dengan ID nbo_3_thereturn .

Aha, mesti terasa nak pergi kan? Pendaftaran online boleh dilakukan di sini. Ayuh, mari kita rancang perjalanan sekarang!


Memori Winter Gathering 2007: Sesi menjamah makanan


Bersambung dengan kisah lain dalam entry akan datang.

Tsutzuku...

Nota sisi;
1) fuyu yasumi = cuti musim sejuk
2) ryokou = melancong
3) eki = stesyen
4) nihonjin = orang Jepun
5) bermang-mang = berpuluh-puluh ribu
6) aruku ski = Saya pun taktau. Lets find out together at Winter Gathering!

Monday, November 24, 2008

The Verses of...

Assalamu'alaikum,

Chizu

Sabtu dan Ahad yang lepas aku ke Nagaoka, sebuah daerah dalam niigata ken. Ada kejohanan bola sepak. Tapi hujan turun dengan lebat pada hari Ahad. Selepas rehat tengahari perlawanan diadakan di dalam taiikukang akibat hujan yang turun tak henti. Kejohanan telah dimenangi oleh pasukan Nagaoka.

Hari dah senja...

Aku bertolak dan pulang dengan densha seorang diri. 4 jam 53 minit ketika pergi, 5 jam 58 minit ketika pulang. Banyak masa tu. mottai nai jika dibiarkan kosong. Dan sedikit menyeksakan jiwa jika duduk tak berbuat apa-apa. Jika ada rakan yang menemani, mungkin ada yang boleh dibincang atau dibualkan.

Aku bawa bersama sebuah buku yang isinya tidak terlalu berat untuk dibaca. Dalam keadaan densha yang bergegar-gegar, berpusing-pusing juga mata ketika khusyuk membaca buku.

Ayat-ayat....

Aku tak begitu meminati shousetsu. Tapi berbeza dengan shousetsu ini. Walaupun telah mendengar komen-komen positif dari ramai orang, tidak tergerak hatiku untuk mendapatkannya. Sehinggalah seorang sahabat mengirimkannya padaku. Sanggup dia hantar dari jauh, mesti ada sesuatu yang istimewa yang ingin dikongsi. Masa ketika di dalam densha aku gunakan untuk menghabiskannya.


.........

Nilai yang diselit dengan bijak

Membaca bahagian pertama shousetsu ini sahaja telah memberikan aku gambaran tentang suasana bumi Mesir ketika natsu. Seolah-olah diri sendiri sedang berpijak di bumi Mesir. Penulis juga telah meggunakan istilah-istilah Arab secara minima tetapi berkesan, tidak lekang juga dengan pengajaran yang dipetik dari hadith dan Al-Quran.

Banyak lagi nilai-nilai positif yang bergerak bersama cerita shousetsu ini seperti adab berjiran, kisah persaudaraan dan lain-lain. Tetapi rasanya babak percintaanlah yang paling mengharukan. Koibumi juga adalah suatu kemestian di dalam ceritanya. Shousetsu ini bukanlah shousetsu jiwang karat, dan aku bersetuju ia dipanggil sebagai novel pembangunan jiwa.

Setelah membacanya aku rasa banyak yang boleh dicontohi dari watak utama shousetsu ini, Fahri. Walaupun ia watak rekaan dan ada yang mengatakannya sebagai terlalu perfect, sedikit sebanyak boleh menjadi moral booster agar terus berusaha mengislah diri. Aku tidak terkejut jika ada yang membaca novel ini berkali-kali. Boleh angau dibuatnya. Jalan ceritanya indah walaupun ada dugaan yang muncul di tengah jalan.

Kini aku juga telah menanam cita-cita untuk ke Mesir suatu masa nanti. Keinginan untuk mempelajari arabiago juga semakin tebal. Sangat berterima kasih kepada sahabat yang mengirim shousetsu ini, akanku pulangkan bila masanya tiba.

Bercinta dan saling menyukai itu ialah fitrah. Dan kita semua bercita-cita memiliki pasangan yang terbaik.

Tetapi jangan lupa cita-cita hakiki bagi setiap orang yang mengaku muslim. Ramai mengetahui apakah cita-cita tersebut tapi adakah kita betul-betul meyakininya?

Apa dia ye cita-cita itu?

Tsutzuku...

(UPDATE: Ulasan menarik di saifulislam.com. Mesti baca.)

Nota sisi:
1) densha = keretapi elektrik
2) natsu = summer, musim panas
3) mottai nai = wasteful, membazir
4) shousetsu = novel
5) arabiago = bahasa Arab
6) koibumi = surat cinta
7) chizu = map, peta
8) taiikukang = dewan sukan, dewan senaman
9) islah = pembaikan, improvement

Tuesday, September 16, 2008

Second half

Assalamu'alaikum,

Safely returned to Akita. Separuh kedua Ramadhan perlu diharungi di sini. Perjalanan dengan pesawat MAS pada sebelah malam, disusuli dengan shinkansen ke Akita keesokan harinya cukup meletihkan.

Ok kita dah sampai...

Aku tiba pada hari Sabtu. Penat berjalan kaki dari eki ke asrama, tapi malangnya pejabat asrama kolejku cuti sampai Isnin. Tak dapatlah aku masuk bilik hingga hari Selasa. Mujur ada rakan-rakan seMalaysia yang lain. Boleh aku sambung menumpang.

Asrama sedang direnovate. Depa dok buat kerja-kerja pengukuhan untuk hadapi gempa bumi

Bahang natsu pula makin pudar. We will welcome aki in a few weeks. From hot to cool. From green to yellow and brown. Nature is a miracle. Seeing the nature transform from season to season, is more than enough to make us believe in the Creator. Zikir(Ingat) dan Fikir. Sekali lagi aku terkenang apa yang diperkatakan pada Summercamp yang lepas. Mereka yang berakal, ialah mereka yang mengINGATi Allah dan meMIKIRkan tentang kejadian alam


The leaves are starting to change

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam
keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata);"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.(2:190~191)"


Aku Terima Nikahnya(ATN)

"Ko terlewat beli buku ni Ajak, patut beli sebelum kahwin", kataku pada senpai yang dah setahun berumah tangga dan bercahaya mata. "Tapi aku tengok buku ni lagi banyak cerita hal lepas kahwin. Kisah-kisah sebelum kahwin tak sebanyak tu", Ajak membalas.


Credit to Zubair

ATN merupakan kompilasi artikel-artikel Abu Saif yang ditulis di saifulislam.com. Bagi mereka yang dah biasa dengan saifulislam.com, membaca ATN ibarat suatu ulangkaji. Mengingatkan kembali tentang susah payah hidup berumah-tangga, berdasarkan pengalaman Abu Saif sendiri yang ditulis dalam laman webnya. Bukan hendak menjadikan hidup Abu Saif sebagai role model yang mutlak, tetapi mana-mana yang baik memang wajar kita contohi dan jadikan teladan. Apepun, bagi mereka yang dah ada angan-angan untuk berumahtangga, aku sangat susume buku ini.

Sengaja bersusah payah

Tapi aku agak terkesan dengan artikel "menyengajakan beberapa kesusahan". Aku setuju, bersusah payah dalam urusan harian adalah proses yang akan mendidik kita belajar menguruskan hidup. Cuma di zaman kini, aku rasa tidak wajar untuk membiarkan anak-anak terlalu bebas, walaupun tujuannya adalah untuk mereka berlatih menguruskan hidup sendiri, kerana persekitaran yang kurang selamat. Kurang selamat dek ancaman keselamatan dan ancaman pemikiran.


1427 Tahun Dahulu
Dah masuk 17 Ramadhan. Bagaimana keadaan kawan-kawan semua? Aku ada dalam bilik. Sebelah kiri aku ada kipas elektrik berputar membekalkan angin dingin. Tapi pada 17 Ramadhan 1427 tahun yang dulu, Nabi Muhammad SAW dengan sahabat-sahabat yang lain, telah berperang dengan musuh yang tiga kali ganda ramai di Badar. Semata-mata untuk Islam. Tidaklah aku mahu mengulas panjang. Sekadar memperingati dan cuba mengambil pelajaran.

Tsutzuku...

Nota sisi:
1) shinkansen = bullet train, keretapi laju Jepun
2) eki = station, stesyen
3) natsu = summer, musim panas
4) aki = autumn, musim luruh
5) tsutzuku = to be continued, bersambung lagi
6) senpai = senior
7) susume = syorkan