Showing posts with label bedah buku. Show all posts
Showing posts with label bedah buku. Show all posts

Saturday, October 2, 2010

Mudai 5

Assalamu'alaikum,

2 Oktober. Masih ada kira-kira seminggu untuk melaksanakan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Cuaca kurang berawan dua tiga hari ini, menyebabkan suhu sedikit naik. Begitu juga taikou yang sangat menyinar hari ni, beberapa kali mataku silau ketika memandu.


Kesesakan di hashi



Bedah Buku


Alhamdulillah, selesai membaca buku Abu Saif berjudul "Murabbi Cinta". Seperti buku "aku terima nikahnya" dan "bercinta sampai ke syurga" buku ini adalah himpunan artikel-artikel Abu Saif di blognya SaifulIslam.com, beserta penambahbaikan serba serbi.

Mungkin ada yang berpendapat, boleh saja membaca artikel-artikel tersebut di blog Abu Saif. Tetapi membacanya dalam bentuk sebuah buku dapat memberikan kelainan kerana artikel-artikel itu disusun dengan sistematik, mengikut urutan yang lebih memberi kesan kepada pembaca.

Bagi yang belum membacanya, aku syorkan membaca artikel bekalan titik mula, murabbi cinta, seorang nabi, sepatutnya yang tidak patut, buat kalian yang baru pulang, jangan sekadar syurga dunia, impian umar terhadap anakmu buat permulaan. Apapun anda tidak akan rugi memilikinya, insyaAllah.

Moga apa yang dibaca mampu mengubah diri, dan menjadi ilmu buat persediaan kehidupan di masa hadapan.

tsutzuku...

nota sisi
1) tsutzuku = bersambung
2) hashi = jambatan
3) mudai = tidak bertajuk
4) taikou = cahaya matahari

Friday, September 24, 2010

mudai 4

Assalamu'alaikum,

Sedar tak sedar dah 24 September. Almost a month have passed since I returned to Japan.


Class hours. Lengang.

Suhu bilik sekarang 20.5 C. Badan masih dalam proses penyesuaian dengan keadaan sekeliling. Sensei fizikku dahulu ada memberitahu, badan manusia mengambil masa kira-kira seminggu untuk adapt dengan keadaan sekeliling. Mochiron, persediaan dari segi pakaian juga perlu.


Kumo & Taiyou

Alhamdulillah, happyou bulan lepas berjalan dengan lancar. Markah yang diperoleh juga memberangsangkan. Happyou seterusnya adalah pada tahun hadapan, jadi aku ada selang masa yang agak lama untuk bersedia. Untuk semester ini, aku hanya perlu hadiri tiga jugyou.

Meminjam semangat.

Baru selesai membaca buku ini. Boleh jadi modal untuk usrah dan tamrin juga.

"....... kehadiran buku ini di minda anda untuk mengimbau semula tokoh sejarah Islam yang semakin dilupakan. Tanpa mereka, tiadalah titik awal perjuangan Islam. Tanpa mereka juga tiadalah penyambung pada perjuangan Nabi Muhammad s.a.w."

Kita mengkaji sejarah untuk mengambil pelajaran. Boleh jadi sebagai strategi dan panduan membuat keputusan. Tetapi setakat ini bagiku, perkara utama yang seringku cari dari kisah tokoh dalam sejarah ialah supaya ia mengetuk dinding hati kita agar ingin berjihad di jalan Allah seperti mereka lakukan.

Kerana kita bukan siapa-siapa di dalam arus perubahan ini. Boleh jadi kitalah yang berada paling hujung, paling pinggir, paling mudah terpesong dan lalai. Dari generasi-generasi terdahululah kita meminjam semangat mereka. Sepertimana Allah menceritakan dalam Al-Quran kisah para anbiya, untuk menguatkan hati Nabi s.a.w.

tsutzuku....

nota sisi
1) mudai = tidak bertajuk
2) tsutzuku = bersambung
3) taiyou = matahari
4) kumo = awan
5) mochiron = semestinya
6) sensei = guru
7) happyou = pembentangan
8) jugyou = kuliah

Friday, July 9, 2010

Pergi dan balik

Assalamu'alaikum wbt,

Shinkansen

Khamis lepas di waktu pagi aku ke kuliah, kemudian terus bergegas ke Tokyo untuk suatu urusan. Tokyo tidak berubah. Dengan lautan manusianya, kepantasan denshanya. Densha yang terus mengangkut manusia. Manusia yang tekun dengan kerjanya. Dari satu sudut sememangnya aku kagum dengan nihonjin ini, kerja tanpa henti. Tetapi bila aku cuba membayangkan sekiranya aku berada di tempat mereka, sungguh aku dapat rasakan jiwa yang kosong. Biar kocek penuh berisi harta, matlmat hidup kabur.


Shinookubo; turut digelar "pekan korea" kerana ramai orang korea

Sempat singgah sebentar di masjid shinookubo untuk solat maghrib dan Isyak. Masjid ini strategik kerana kedudukannya yang hampir dengan yamanotesen. Ada jemaah tabligh berprogram di sini, jadi sempatlah aku ikut majlis bayan mereka selepas maghrib sementara menunggu Isyak. Apa yang diperkatakan bukanlah pertama kali didengar, tetapi lumrah kita manusia sering lupa, lebih-lebih lagi apabila disibukkan dengan urusan kehidupan.

Bedah buku
Alhamdulillah, sempat bedah satu buku yang aku nak susume pada para pembaca semua.



Bukan sekadar membaca, tetapi berubahlah kepada tadabbur.

"Baca Al-Quran ialah membaca hanya dengan lidah. Ayat-ayat Al-Quran disebut mengikut hukum tajwid dan dilagukan mengikut kaedah-kaedah taranum. Maka akan terserlah keindahan dan ketinggian nilai seni ayat-ayat al-Quran itu. Pembacanya akan terhibur, beroleh ketenangan jiwa dan kepuasan yang tersendiri di samping ganjaran pahala dan fadilat surah-surah tertentu. Manakala tadabbur al-Quran pula ialah membaca dengan lidah, akal dan hati. Lidah memastikan bacaan dengan tartil, akal mengambil pemahaman makna dan hati mengambil pengajaran untuk dijadikan panduan. Maka akan terserlah al-Quran sebagai kitab hidayah dan mukjizat yang sarat dengan khazanah-khazanah yang tidak ternilai harganya. Inilah asas para ulama dan ilmuwan pada zaman keagungan Islam membangun suatu tamadun lahiriah dan rohaniah yang tiada tolok bandingnya."

Jika ditanya pula pada pada diriku, apa yang aku faham dengan tadabbur, ialah MENGAITKAN ajaran dalam Al-Quran dengan diri sendiri. Mudah-mudahan bergetar hati ini apabila berdamping dengan Al-Quran.

Pelbagai gelagat umat Islam terhadap Al-Quran dapat dilihat hari ini. Ada yang membiarkannya suci dalam debu(dibiarkan berhabuk tanpa dibaca). Ada yang membaca Al-Quran untuk tujuan tertentu sahaja.

Sudah tiba masanya kita kembali menjadikan Al-Quran gendouryoku proses islah dan tajdid umat masa kini. Biarpun majoriti kita bukan ahli dalam ilmu Al-Quran, kita kena ubah persepsi lapuk terhadap Al-Quran. Kita dianjur supaya membaca al-quran dengan tartil dan suara yang merdu, tetapi sentiasalah juga bertadabbur, bukan lagi melihatnya semata-mata dari sudut seni suara.

Tsutzuku...
1) densha = keretapi
2) gendouryoku = driving force
3) nihonjin = orang Jepun
4) susume = syorkan
5) shinkansen = keretapi laji Jepun
6) islah = pembaikan
7) tajdid = pembaharuan

Monday, June 21, 2010

For the 5th time

Assalamu'alaikum wbt,

Maka tibalah waktu yang dinantikan. Natsu! Aku berpeluang untuk menempuhinya buat kali kelima. Bagi nihonjin, boleh dikatakan inilah musim yang paling disukai mereka. Aku pula, mungkin mirip kepada tanah air tetapi bahang lebih terasa kerana kelembapan udara adalah rendah.


sekolah yang baru di reform


Di persimpangan

2 Ogos, ada chukang happyo. Alhamdulillah, pengalaman berorganisasi bersama IPIJ sedikit sebanyak telah membina keyakinan diri berhadapan dengan audience. Begitu juga kemahiran bercakap di depan khalayak ramai. Aku tidak pandai bercakap, tetapi keadaanku selepas bersama IPIJ adalah lebih baik.

Aku juga berharap agar dapat pulang ke tanah air penghujung Ogos ini, untuk menyertai program Jalinan Mesra bersama alumni IPIJ.

Sekarang tengah baca buku ni. Thanks to my brother.


Maaf kerana isinya tidak dibedah di dalam entri ini. Sekadar berkongsi aktiviti, mungkin anda berminat membacanya selepas ini =)

InsyaAllah, siri bedah buku yang lain akan menyusul.

Tsutzuku...
1) natsu = musim panas
2) nihonjin = orang jepun
3) chukang happyo = pembentangan pertengahan semester??

Sunday, October 4, 2009

Rindu Bau Pohon Tin

Assalamu'alaikum,

Aku sempat singgah di Toyama dan Nagoya sebelum pulang ke Malaysia bulan Ogos yang lepas. Perjalananku dengan densha selama beberapa jam, dengan izin Allah juga memberi aku ruang untuk membedah lagi buku ketika dalam perjalanan.


Going home



Rindu Bau Pohon Tin,

Catatan pengembaraan di bumi syam(bukan aku yang mengembara)

Asalnya ia adalah himpunan catatan Abu Saif ketika berkelana di bumi Jordan dan ketika berprogram di Qatar. Kebanyakannya ada ditulis sebagai artikel di blog Saifulislam.com, tetapi membaca sambil memegang sebuah buku lain rasanya dengan membaca sambil merenung skrin pasokon.

Aku masih ingat ketika program Jalinan Ukhuwah di Niigata, kata-kata Mr Khaled dari Mesir dalam kuliahnnya. "Kita di sini bukan kerana kita yang terbaik, tetapi kerana kita dipilih Allah." Dipilih untuk berada di bumi asing, sambil memegang amanah untuk menuntut ilmu dan menolong agama Allah. Ia adalah ujian sebenarnya, bukan sekadar nikmat. Sedangkan ramai manusia yang tidak terpilih untuk berada lama di lapangan akademik. Ramai yang lebih cepat terjun sebagai syakaijin, ke tengah-tengah gelora masyarakat dengan cabaran yang lebih berat.

Sedikit sebanyak perlulah kita sedar, tanggungjawab di lapangan akademik, apatah lagi di luar negara. Tanggungjawab menuntut ilmu untuk membantu agama Allah. Terlalu sedikit amalku untuk agama ini. Kita menyeru diri untuk membantu agama Allah, tetapi sebenarnya kita menyeru diri untuk membantu diri sendiri. Tolong agama Allah bermaksud menolong diri sendiri. Lari dari menolong agama Allah, yang rugi adalah diri kita.

Dengar khabar Abu Saif akan tulis kompilasi catatan travelog yang baru.

Tsutzuku...

Nota sisi;
1) densha = keretapi
2) syakaijin = anggota masyarakat yang independent(boleh berdikari tanpa sokongan penjaga atau pihak ketiga)
3) pasokon = komputer

Wednesday, August 5, 2009

Natsu no doubutsu

Assalamu'alaikum wbt,

Salam Ramadhan,

Natsu kali ini sedikit berbeza. Ketika di kosen dahulu, aku tidak menyedarinya, mungkin kerana tinggal dalam bangunan asrama yang sedikit terpisah dari pokok-pokok. Di sini kehadirannya sangat dirasai. Hampir setiap masa suaranya memenuhi ruang-ruang hidupku di rumah. Walaupun amplitud bunyinya agak kuat, tidak pula telingaku rasa bingit, malah ada unsur ketenangan. Tidak seperti kenderaan besi yang lalu lalang di jalan berhampiran. Doubutsu itu adalah cengkerik.


Pokok-pokok di luar rumah; habitat yang disukai cengkerik

Dan lagi satu ialah kumo. Di bawah tangga, di ampaian, di celah pintu, asal boleh dia akan bina sarangnya. Pernah suatu hari aku pulang ke rumah pada waktu malam dengan jitensha. Keesokan harinya ketika hendak keluar semula, seekor kumo telah membinah rumahnya di atas jistensha ku! Kagum dengan kepantasan dan ketekunannya membina rumahnya yang fukuzatsu itu, hanya dalam tempoh semalaman.


Spot the spider. kumo;arkitek yang hebat. Dia bina rumah atas ampaianku


Bedah Buku

Lama sudah tidak menulis tentang bedah buku. InsyaAllah kali ini nak cerita secara ringkas tentang buku "Bekalan Di Sepanjang Jalan Da'wah" tulisan Mustafa Masyhur. Aku tidak pasti sebutan tajuk asal buku ini dalam bahasa Arab, mungkin ada pembaca yang boleh berkongsi.

Setiap orang yang bermusafir mestilah mempunyai bekalan yang diperlukan di dalam perjalanan. Dengan itu dia menyediakan sebab musabab yang membolehkannya meneruskan perjalanan agar dapat menuju matlamatnya. Dia juga membuat pertimbangan terhadap apa yang akan berlaku di dalam perjalanannya. Kemungkinan berlaku sesuatu yang menghadang jalannya dan menghalang ia meneruskan perjalanannya. Adakalanya berlaku sesuatu yang menjauhkannya dari matlamat atau sekurang-kurangnya mencacatkan perjalanannya.

Jalan da'wah adalah segala-galanya di dalam kehidupan seorang da'i kepada Allah. Ia adalah jalan yang paling utama untuk diberikan perhatian. Mestilah ada bekalan yang memelihara dari terpesong, terhalang, terhenti, terbantut atau tergelincir jalan.

Dari suatu sudut pula, buku ini dapat membawa pembaca untuk lebih menghayati amal kerana Allah swt. Bagaimana amalan kita dapat memacu tindakan dan pergerakan kita.


Sama ada anda mengganggap diri anda penda'wah atau tidak, bacalah dan hayatilah buku ini jika berpeluang!


Da'wah dan Perniagaan

Ada yang beralasan "ilmu aku tak cukup lagi". Seorang saudaraku telah memberikan satu analogi. Aku tak pasti dari mana dia rujuk analogi ini, maka usahlah jadikannya suatu dalil, tapi sangat elok untuk difikirkan bersama.

Katanya da'wah itu ibarat satu perniagaan. Dan ilmu pula adalah modal perniagaan.

Jika nak berniaga besar-besar, modal kenalah banyak.

Dan jika ingin meluaskan ruang lingkup dan kemahiran da'wah, maka ilmu juga kenalah banyak.

Tapi kalau modal kita sikit pun, kita masih boleh berniaga kan? Jadi jika ilmu kita sikit pun, kita masih boleh bekerja.

Selamat berniaga dan selamat menambah modal.

Tsutzuku....

nota sisi;
1) natsu = musim panas
2) doubutsu = haiwan
3) kosen = kolej teknikal
4) kumo = labah-labah, maksud lain ialah awan
5) jitensha = basikal
6) fukuzatsu = rumit, complicated

Tuesday, June 2, 2009

Minggu keemasan

Assalamu'alaikum,

kokubang


Shiken di sekolah baru ni lain sikit. Kalau di sekolah lama dulu, satu minggu ditetapkan khas untuk shiken. Maka semua pelajar akan menempuhi minggu tersebut dengan pelbagai ragam. Ada yang tak tidur berhari-hari untuk benkyou. Apa boleh buat, hari ni dua ketul, esoknya pula beberapa ketul lagi menanti, hinggalah selesai satu minggu. Tapi di sekolah baru, shiken terpulang pada sensei, dan lazimnya memang akan ada ruang untuk setiap subjek. Minggu ni dua, minggu depan pulak tiga. Begitulah. Cuma silibus di sekolah baru ni, lebih luas dan susah, jadi bukanlah bermakna aku boleh goyang kaki.

Cuti golden week

Minggu keemasan

Setiap kali awal bulan Mei, Jepun akan ada cuti yang dipanggil "golden week", biasanya lebih kurang empat atau lima hari. Aku pun tak tau kenapa dipanggil golden week tapi boleh rujuk sini untuk maklumat lanjut. Dan pada golden week yang lepas aku telah ke Kannonzaki di Kanagawa-ken untuk menyertai golden week gathering IPIJ. Alhamdulillah, dengan tema al-mu'allim, peserta diajak merenung kembali kepentingan sirah Rasulullah s.a.w. dan beberapa prinsip kejayaan baginda untuk diambil pengajaran dan diaplikasikan.


Peta perjalanan

Al-Mu'allim

Orang barat juga tidak ketinggalan mengkaji sirah Nabi s.a.w. Antara sebabnya ialah.... simply because Muhammad s.a.w. is the greatest man! Mereka mengkagumi baginda, biarpun jika mereka tidak menyukai baginda. Seorang penulis barat Michael A. Hart di dalam bukunya menulis " he was the only man in history who was supremely successful on both the reliegious and secular levels."

Bagi kita yang telah melafazkan syahadah, perlu lebih dari itu. Mengimani para Rasul adalah salah satu dari komponen iman, jika rosak maka rosaklah semuanya. Ibarat susunan domino, jatuh satu, maka jatuh semua. Adalah suatu yang janggal, apabila seseorang berkata dia cintakan Islam tetapi dia tidak kenal, atau tiada usaha mengenal manusia yang mengajar Islam yang dicintainya. Mengkaji sirah Rasulullah S.A.W. itu ialah mengkaji Islam secara praktikal.

Aku ingin berkongsi kata-kata Said Ramadhan Al-Buti di dalam bukunya fiqh al-sirah;
"....hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah S.A.W." "Tidak syak lagi bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad S.A.W. ialah memahami semua sudut kemanusiaan."

Zaman muda ku,
Entah kenapa sebelum datang ke bumi sakura, persepsiku jauh berbeza. Apabila disebut Rasulullah Muhammad S.A.W. ,yang berlegar di fikiranku hanyalah Maulidur Rasul dan sambutan Ma'al Hijrah. Dan sekali sekala teringat peristiwa Israk Mikraj. Aku pun tak berapa ingat apa yang dah diajar di sekolah berkenaan sirah. Mungkin salahku juga sebab tak serius belajar. Atau silibusnya banyak lompat-lompat?

Bagi pengunjung-pengunjung orenojinsei, inginku jemput membaca sesuatu. Tulisan yang telah mengubah persepsiku terhadap sirah. Klik sini

Unten Mengkyo,
Sedang berhajat untuk mendapatkan unten mengkyo Jepun, cuma prosesnya sedikit rumit. Mustahil untuk mendapatkannya dalam masa terdekat tapi memang sangat berhajat.Doakan aku. Last but not least untuk yang akan bershiken, ganbarou!

Tsutzuku...

Nota sisi;
1) shiken = peperiksaan
2) unten mengkyo = lesen memandu
3) benkyou = study
4) Mu'allim = guru, teacher
5) kokubang = papan hitam, blackboard
6) sensei = guru
7) ganbarou! = ayuh berusaha ! <---- (lebih kurang macam ni lah dalam bahasa Melayu.)

Tuesday, April 21, 2009

360 Darjah

Assalamu'alaikam wbt,

Kat sini sakura dah mangkai. Gugur pun sudah. Memang dah haru. Rumah baruku terletak empat kilometer dari sekolah. Berbasikal ke sekolah mengambil masa 15 minit. Berjalan kaki 45 minit. Physical training yang bagus.

My iron horse


Memimpin di tengah

Sambung siri bedah buku. Buku yang aku nak cerita kali ni bertajuk "The 360° Leader". Bila anda dengar 360°, apakah tafsiran awal anda? Aku pernah terfikir, disebabkan pemimpin ni asyik pening dengan tugas dan beban tanggungjawab, kepalanya asyik berpusing 360 darjah. Boleh jadi itulah sebabnya tajuk buku ini jadi sedemikian.
360 Darjah

Tapi bukan begitu. Yang dimaksudkan dengan 360 darjah ialah "all direction". Ia merujuk kepada mereka yang memimpin di tengah-tengah organisasi, bukan di peringkat terbawah dan bukan teratas. Memimpin di peringkat teratas, anda dibebankan dengan orang bawahan. Berada di bahagian terbawah, anda ditekan oleh orang atasan. Memimpin di tengah, maka rasalah kedua-duanya. (maka jangan kejar jawatan :P). Ada kalanya pemimpin di tengah juga perlu memimpin rakan sejawatan yang sama taraf.

Seorang pemimpin 360 darjah perlulah mengambil berat orang bawahan, dan sentiasa membantu bukan saja dari segi teknikal tapi juga emosi. Begitu juga terhadap pihak atasannya. Tak boleh fikir yang orang atasannya sentiasa sempurna. Ada kalanya pihak atasan juga mengalami masalah yang membuntukan, dan pemimpin di tengah perlu proaktif membantu. Bunyi macam susah kan? Penulis buku ini menekankan bahawa untuk membina pengaruh dan memimpin dengan lebih efektif, seseorang itu perlu memperbaiki hubungannya dengan pihak atasan dan juga orang bawahannya. Penulis buku ini berpendapat, pemimpin di peringkat pertengahan adalah faktor utama kejayaan sesebuah organisasi.

Dan yang lebih penting, seorang pemimpin 360 darjah itu perlu memiliki mindset dan berusaha untuk "membina dan memajukan" orang lain tidak kira sama ada orang bawahannya atau pihak atasannya. Bukan sekadar mengambil dan menyuruh orang bekerja.

Cuba melihat dengan lebih luas,

Aku terfikir, bagaimana manfaat dari buku ini boleh diaplikasikan dalam skop yang lebih luas. Apa yang aku lihat, penulis lebih banyak mengambil contoh berdasarkan organisasi-organisasi bebas dan syarikat-syarikat dalam mencanangkan konsep dan idea pemimpin 360 darjah. Tetapi bagaimana dengan persatuan dakwah? Sememangnya ia adalah sebuah organisasi tetapi bukan seperti organisasi biasa, kerana mereka yang bekerja di bawah badan dakwah tidak mengharapkan wang dan upah, apatah lagi pangkat dan harta(sepatutnya begitu lah). Kejayaan dalam gerak kerja bukan kerana minat semata-mata, atau sekadar memuaskan hati mengisi masa lapang.

Banyak nasihat dan saranan penulis, yang tidak lari dari apa yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W. Contohnya nasihat penulis supaya pemimpin 360 darjah memperbaiki hubungannya dengan orang di sekeliling. Rasulullah S.A.W. bukan sahaja berpengaruh, tetapi kepimpinan Rasulullah S.A.W. disertai kasih sayang yang sangat mendalam, hinggakan para sahabat sanggup berkorban sahaja. Iman yang dipupuk ke dalam jiwa para sahabat dan sifat Rasulullah S.A.W. menghasilkan organisasi yang utuh. Membaca semula peristiwa sulh Hudaibiyyah, wakil Quraisy Urwah ibnu Mas'ud menceritakan;

"Ludah Rasulullah tidak sempat jatuh ke tanah kerana disambut oleh orang-orang di sekelilingnya, lalu mereka menyapukan ludah itu ke muka dan kuli-kulit mereka. Apabila dia menyuruh sesuatu kepada mereka berebut-rebutlah mereka melakukannya. Bila dia hendak berwudhu' seolah-olah hendak berbunuh-bunuh mereka berebut-rebut membawa air kepadanya. Bila bercakap dengannya tiada siapa yang berani meninggikan suaranya, tidak mereka pandang tepat kepadanya kerana menghormatinya."(Fiqh Al-Sirah 3: ms 497)

Walaupun Rasulullah S.A.W. tidak memimpin di tengah, aku melihat elemen kasih sayang adalah faktor penting kelancaran organisasi generasi para sahabat. Sahabat tidak melihat title Rasul semata-mata. Di bahagian awal buku ini sendiri, penulis menyatakan pendapatnya bahawa memimpin tidak semestinya perlu berjawatan tinggi, tetapi dengan hanya membina pengaruh, ia mampu dilakukan.

Penulis buku ini John C. Maxwell telah menulis lebih 50 buku, kebanyakkannya berkaitan kepimpinan. Dia adalah seorang pemimpin gereja, tapi aku fikir apa-apa yang baik kita ambil saja untuk di amalkan. The future is ours.

kadai
It's a good book to read. Seperti biasa, kadai yang tinggal ialah "to walk the talk". Rugi jika tidak mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Mohon tunjuk ajar jika terdapat kesalahan dalam tulisan ini.

Tsutzuku...

Nota sisi;
1) mangkai = kembang penuh, full bloom
2) haru = musim bunga
3) kadai = tugasan, assigment
4) tsutzuku= bersambung

Wednesday, February 11, 2009

Current News

Assalamu'alaikum,

Dah pertengahan bulan dua rupanya. Aku kini berada di penghujung pengajian diploma. InsyaAllah jika tiada aral, akan sotsugyou pada 15 Mac. Ingat nak kikoku ketika haru yasumi, tapi kena pindah rumah la pulak. Visa pun kena sambung, kalau tidak, kerajaan nippon hantar aku balik free la.


Traktor sodok yuki

Sejuk lagi kat sini. Walaupun seluruh dunia panas dengan macam-macam isu. Isu palestin yang tak berkesudahan. Malaysia yang sedikit kucar-kacir. Australia pun panas. 108 mati akibat kebakaran hutan. Terkejut juga sebenarnya, kerana selama ini aku melihat Australia sebagai sebuah negara maju dengan segala macam teknologi serta kemudahan, macam mana korban nyawa boleh cecah banyak tu. Ia patut jadikan manusia betul-betul berfikir.

Sempat membedah beberapa buku, tapi aku mengalami kebuntuan, bagaimana hendak matome hasilnya di orenojinsei. Kemahiran membuat rumusan sudah merudum, tidak seperti zaman sekolah menengah dulu. Ada juga buku tak dapat dikongsi atas sebab "taktikal".



The Protocols

Membaca buku ini memberi lebih kesedaran tentang rancangan rapi Zionis untuk mengawal dunia. Ada 24 protokol yang dibentangkan pada 29 Ogos 1897 di Switzerland. Jika diteliti isi kandungan protokol tersebut dengan situasi masyarakat hari ini, kita akan dapati banyak persamaan.

Licik sungguh rancangan mereka. Ia merupakan blueprint bagi zionis untuk menguasai dunia melalui organisasi-organisasi rahsia, badang perusahaan dan lain-lain.

Bila kita tak diajar benda yang sepatutnya

Jika ada seorang berkata pada kita "Macam mana kalau palestin terima je Israel? Biar satu negara je, selagi mana Israel boleh tadbir dengan baik. Ada harapan menjadi aman?". Jika yang berkata itu bukan Islam, kita tak terkejut. Tapi jika orang Islam sendiri yang berkata demikian, kita terpaksa tarik nafas panjang. Aku pernah dengar dengan telingaku sendiri, dihadapan mataku sendiri. Aku tak salahkannya, mungkin dia kurang pendedahan. Diriku sendiri belum cukup pendedahan. Selama aku bersekolah, tidak pernah diajar perkara ini. Hanya tangkap suap info-info yang berlegar di sekeliling.

Jika dilihat dari segi sejarah sendiri, kita akan tahu bahawa Zionis telah merampas tanah di Palestin. Kita tahu bahawa di sanalah Nabi S.A.W. di mikraj kan ke langit. Di sana juga, menjadi saksi pengutusan ramai para anbiya', Di sana juga terletaknya Masjidil Aqsa, kiblat pertama umat Islam. Bumi di sana diberkati. Kita juga tahu rakyat palestin yang dizalimi di sana adalah saudara seaqidah kita. Apa lagi yang perlu dikata?(untuk lebih kuwashii klik sini dan sini)

Aqidah Islam itu merentasi benua dan bangsa. Inilah yang perlu dimantapkan. Inilah yang perlu diperbetulkan..


Satu Hati - La Khauf

nota sisi:
1) sotsugyou = graduasi
2) kikoku = pulang ke tanah air
3) haru = musim bunga
4) yasumi = cuti
5) yuki = salji
6) nippon = Jepun
7) matome = rumus, himpun
8) kuwashii = terperinci

Sunday, January 18, 2009

Omiyage

Assalamu'alaikum wbt,


Menuju Akita Eki

Pada mulanya ku jangkakan terang sepanjang musim, tapi lebat pula yuki di pertengahan bulan ni. Kali ini aku tidak berhajat untuk menulis panjang, tapi aku ingin berkongsi sedikit omiyage dengan semua.

Majalah Post Summer Camp 2008
Sedikit ilmu dan perkongsian yang dihimpunkan dalam buku online berbentuk pdf. Semoga Allah merahmati mereka yang menyumbang dalam penghasilannya. (Klik pada imej di bawah)




Aku juga ingin berkongsi satu artikel menarik tentang air. Ya, air atau formula kimianya H20.. (Klik di sini untuk membaca. Sangat menarik :D )

Nota sisi;
1) omiyage = cenderamata, cenderahati
2) yuki = salji
3) eki = stesyen

Wednesday, January 7, 2009

Cerita tak rasmi winter gathering...

Assalamu'alaikum wbt,

Seketika telah berlalu sejak winter gathering yang lepas. Banyak yang boleh dikongsi dari program tersebut tapi aku tangguhkan dahulu.


Sasaran Cuti Musim Sejuk



Densha malam ke Toyama

Sebelum pulang ke Akita, aku berkesempatan singgah di Nagaoka Kosen, dan bertemu dengan zul, dhuan, yeh dan batuterang. Dalam bilik Zul ada banyak juga buku-buku yang memikat mata. Aku capai sebuah buku yang aku kira tidak berat untuk dibaca.


Sehari suntuk...

Buku berkisar tentang Sultan Muhammad bin Murad, yang digelar al-fateh bermaksud "pembuka". Ia tidak ditulis seperti sebuah ronbun yang penuh maklumat-maklumat halus. Penceritaannya lebih ringan dan mudah dihadam, memadai untuk aku hayati usaha-usaha Sultan Muhammad Al-Fateh dalam memimpin tenteranya menakluk Constantinople.

Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Membacanya memberi gambaran ringkas urutan-urutan peristiwa dan tindakan sepanjang misi membenarkan janji Rasulullah S.A.W. itu. Percubaan-percubaan awal menakluk Constantinople, kehidupan Sultan Muhammad ketika kecil, usaha mengislah tentera dan rakyatnya, memanfaatkan teknologi meriam dari seorang bernama Urban, bertindak di luar pemikiran musuh. Syarat kemenangannya ialah Raja yang baik dan tentera yang baik

Bagaimana pula dengan kemenangan Islam di akhir zaman? Apakah syaratnya?......


Orang Turki dan budaya membaca,
Lama juga tak bedah buku di orenojinsei. Sebut tentang buku, aku ingin berkongsi pengetahuan yang disampaikan oleh speaker Winter Gathering yang lepas iaitu Ustaz Ramadhan.

Kita sedia maklum setelah Khilafah Uthmaniyyah runtuh pada Mac 1924, Turki melalui proses pembaratan yang menyeluruh. Banyak undang-undang dan larangan diadakan untuk menyekat syiar Islam. Azan dalam bahasa arab dimansuhkan, huruf arab diganti secara total dengan huruf rumi. Semuanya agar tidak ada lagi generasi yang berpegang dengan Islam secara keseluruhan.

Namun kita lihat hari ini, apa yang dirancang oleh musuh-musuh belakang tabir dan golongan kemalist itu tidaklah terjadi sesempurna seperti yang mereka harapkan. Kini di Turki secara kasarnya orang Islam boleh dibahagi kepada dua golongan. Yang pertama ialah mereka yang memisahkan agama dari kehidupan. Yang satu lagi ialah mereka yang masih beriltizam dengan ajaran Islam seboleh mungkin. Yang diatas pagar, susah nak jumpa.

Mungkin kita tertanya-tanya, setelah Turki melalui proses pembaratan yang melampau, malah angkatan tentera dan sebilangan besar kumpulan pemerintahnya juga berotak sekular, seruan-seruan Islam di sana masih tidak dapat dihapus secara total. Mengapa? Di Turki tidaklah mudah bertemu majlis-majlis ilmu secara terbuka. Apatah lagi amal-amal lain yang bersangkutan syiar Islam.

Akan tetapi orang Turki suka membaca. Budaya membaca menjadi salah satu faktor, pencinta-pencinta Islam di sana terus mendapat tarbiyyah dan suntikan semangat untuk istiqamah dengan perjuangan mereka.

Kepada diri saya dan pembaca-pembaca orenojinsei, tanamlah budaya membaca. Semoga menjadi salah satu usaha pembaikan dan membina kesedaran diri, ke arah masyarakat dan kesatuan yang mantap. Ini perlu untuk kepentingan jangka masa panjang. Hari ini kita lihat saudara-saudara di Palestin, terutamanya di Gaza terus dan terus dizalimi. Kita mampu mengutuk, mengecam, berkorban harta, memboikot, dan berdoa. Teruskan usaha masing-masing. Tapi tidak mahukah kita bina negara dan organisasi yang betul-betul ikhlas membantu mereka atas dasar jihad?

Nota sisi:
1) densha = keretapi
2) ronbun = tesis

Monday, November 24, 2008

The Verses of...

Assalamu'alaikum,

Chizu

Sabtu dan Ahad yang lepas aku ke Nagaoka, sebuah daerah dalam niigata ken. Ada kejohanan bola sepak. Tapi hujan turun dengan lebat pada hari Ahad. Selepas rehat tengahari perlawanan diadakan di dalam taiikukang akibat hujan yang turun tak henti. Kejohanan telah dimenangi oleh pasukan Nagaoka.

Hari dah senja...

Aku bertolak dan pulang dengan densha seorang diri. 4 jam 53 minit ketika pergi, 5 jam 58 minit ketika pulang. Banyak masa tu. mottai nai jika dibiarkan kosong. Dan sedikit menyeksakan jiwa jika duduk tak berbuat apa-apa. Jika ada rakan yang menemani, mungkin ada yang boleh dibincang atau dibualkan.

Aku bawa bersama sebuah buku yang isinya tidak terlalu berat untuk dibaca. Dalam keadaan densha yang bergegar-gegar, berpusing-pusing juga mata ketika khusyuk membaca buku.

Ayat-ayat....

Aku tak begitu meminati shousetsu. Tapi berbeza dengan shousetsu ini. Walaupun telah mendengar komen-komen positif dari ramai orang, tidak tergerak hatiku untuk mendapatkannya. Sehinggalah seorang sahabat mengirimkannya padaku. Sanggup dia hantar dari jauh, mesti ada sesuatu yang istimewa yang ingin dikongsi. Masa ketika di dalam densha aku gunakan untuk menghabiskannya.


.........

Nilai yang diselit dengan bijak

Membaca bahagian pertama shousetsu ini sahaja telah memberikan aku gambaran tentang suasana bumi Mesir ketika natsu. Seolah-olah diri sendiri sedang berpijak di bumi Mesir. Penulis juga telah meggunakan istilah-istilah Arab secara minima tetapi berkesan, tidak lekang juga dengan pengajaran yang dipetik dari hadith dan Al-Quran.

Banyak lagi nilai-nilai positif yang bergerak bersama cerita shousetsu ini seperti adab berjiran, kisah persaudaraan dan lain-lain. Tetapi rasanya babak percintaanlah yang paling mengharukan. Koibumi juga adalah suatu kemestian di dalam ceritanya. Shousetsu ini bukanlah shousetsu jiwang karat, dan aku bersetuju ia dipanggil sebagai novel pembangunan jiwa.

Setelah membacanya aku rasa banyak yang boleh dicontohi dari watak utama shousetsu ini, Fahri. Walaupun ia watak rekaan dan ada yang mengatakannya sebagai terlalu perfect, sedikit sebanyak boleh menjadi moral booster agar terus berusaha mengislah diri. Aku tidak terkejut jika ada yang membaca novel ini berkali-kali. Boleh angau dibuatnya. Jalan ceritanya indah walaupun ada dugaan yang muncul di tengah jalan.

Kini aku juga telah menanam cita-cita untuk ke Mesir suatu masa nanti. Keinginan untuk mempelajari arabiago juga semakin tebal. Sangat berterima kasih kepada sahabat yang mengirim shousetsu ini, akanku pulangkan bila masanya tiba.

Bercinta dan saling menyukai itu ialah fitrah. Dan kita semua bercita-cita memiliki pasangan yang terbaik.

Tetapi jangan lupa cita-cita hakiki bagi setiap orang yang mengaku muslim. Ramai mengetahui apakah cita-cita tersebut tapi adakah kita betul-betul meyakininya?

Apa dia ye cita-cita itu?

Tsutzuku...

(UPDATE: Ulasan menarik di saifulislam.com. Mesti baca.)

Nota sisi:
1) densha = keretapi elektrik
2) natsu = summer, musim panas
3) mottai nai = wasteful, membazir
4) shousetsu = novel
5) arabiago = bahasa Arab
6) koibumi = surat cinta
7) chizu = map, peta
8) taiikukang = dewan sukan, dewan senaman
9) islah = pembaikan, improvement

Thursday, October 30, 2008

Power Electronics

Assalamu'alaikum,

Sejuk. Walaupun fuyu belum tiba, kedinginannya cukup untuk menggigilkan badan. Ingat nak sambung kisah "jalan ke jepun", tapi aku tangguhkan dulu. Nak cerita benda akademik sikit.

Elektrik dan Elektronik: Sama tapi tak serupa?
Aku adalah lepasan sekolah teknik dalam bidang kejuruteraan elektrik & elektronik. Sejak mula bersekolah, aku tertanya-tanya apakah sebenarnya yang membezakan elektrik dan elektronik. Mengapa perlu diasingkan? Mengapa tidak elektrik sahaja? Bukankah kedua-keduanya memerlukan tenaga elektrik?

Mungkin ada berbagai jawapan untuk persoalan tersebut. Kita sedia maklum bahawa tenaga elektrik terhasil apabila pengaliran elektron berlaku. Kan dah dekat tu, elektrik dan elektron. Bagaimana pula dengan litar elektrik dan litar elektonik? Cuba lihat dua gambarajah di bawah. Yang mana satu adalah litar elektronik?


Jawapan: Litar elektronik ialah litar B, kerana memiliki diod. Jadi bolehlah disimpulkan, mana-mana litar elektrik yang mengandungi active component seperti diod atau transistor, maka litar itu boleh juga disebut sebagai litar elektronik. Cuma sebagai peringatan, elektronik adalah subset kepada elektrik. Semua litar elektronik adalah litar elektrik, tapi bukan semua litar elektrik adalah litar elektronik.


Power Electronics

Mungkin ku pernah sebut sebelum ini tentang sotsukenku dalam bidang power electronics. Jika dialih bahasa, maka ia bermaksud "elektronik kuasa". Jadi apakah first impression anda apabila mendengar perkataan tersebut?

Pertama kali aku mendengarnya, aku sangka ia hanyalah berkisar tentang litar elektronik biasa yang beroperasi dengan voltan tinggi. Tanggapanku itu tidak salah, tapi masih belum mampu menerangkan apa itu power electronics dengan lebih terperinci.

Untuk menerangkan dengan mudah, cuba anda bayangkan dalam suatu litar elektronik, ada satu suis. Kemudian suis ini ditekan sebanyak seribu kali atau lebih dalam masa satu saat. Itulah dia power electronics. Dengan kata lain, ia adalah bidang yang mengaplikasikan teknologi pensuisan berkelajuan tinggi dalam litar.


Mari tekan suis ni 1000 kali dalam satu saat...

Power Electronics pada mulanya tidak diklasifikasikan dengan nama nya sendiri. Dahulu ia adalah sebahagian daripada kejuruteraan elekrtonik secara umum. Namun pada tahun 1970-an, suatu bidang yang bertunjangkan power, electronics dan control ditubuhkan secara rasmi sebagai satu cabang baru kepada kejuruteraan elektrik dan elektronik. Kajian dalam bidang ini ini sangat menggalakkan lebih-lebih lagi setelah kemunculan komponen-komponen yang lebih mantap seperti power diode, power transistor, thyristor dan IGBT.

Aplikasi power electronics terdapat dalam hampir semua peralatan elektrik hari ini. Namun di Jepun, selain dalam pembuatan perkakas elektrik, sumbangan besar power electronics ialah pada sistem keretapi di Jepun. Perkembangan bidang power electronics membolehkan sistem kawalan motor elektrik pada keretapi Jepun diperhalusi. Jika dahulu, perintang bersaiz besar diperlukan untuk mengawal motor elektrik, tapi kini suis-suis berkelajuan tinggi digunakan sebagai ganti.

Setelah setengah tahun bermain dengan bidang ini, satu perkara yang aku sedar. Bidang power electronics terlalu banyak menggunakan gambarajah gelombang dalam menganalisis data. Berpusing-pusing juga mataku dibuatnya (@_@).

Bedah buku;
Sejak kebelakangan ni aku cuba mengulangkaji sirah Rasulullah SAW. Bukanlah pertama kali aku membaca dan cuba mengkajinya, tapi naqibku pernah pesan, belajar sirah kena banyakkan sumber. Sebab cara huraian dan tulisan setiap ulama mungkin berbeza.

Sebagai muslim, sejak kecil lagi aku telah diajar tentang Rasulullah SAW. Tapi entah kenapa, baru kini aku mula menghayati dan lebih memahami hakikat perjalanan hidup Rasulullah SAW. Akan ku nukilkan di lain waktu jika berkemampuan.

Tsutzuku...

Nota sisi:
1) fuyu = winter, musim sejuk
2) sotsuken = graduation research

Saturday, October 11, 2008

Cabut(Korek?) Ubi

Assalamu'alaikum,

Minggu lepas aku ikut sensei nihongo ke kebun sato imo. Kebun ni milik orang lain, tapi dia buka untuk orang awam. Nak bagi rasa pengalaman mengorek ubi kat orang-orang bandar terutamanya. It was raining in the morning, but that didn't stop us.

Di hatake



Singgah kedai beli budo-


Sato imo ni dibahagi kepada tiga bahagian; oya, kodomo dan mago. Mago adalah bahagian paling kecil dan tidak memilik tunas daun. Bahagian ni lah paling sedap. Kodomo adalah mago yang telah memiliki batang dan tunas daun yang cukup matang sehingga mampu mencambahkan magonya sendiri. Oya pula ialah pokok induk.

Ketiga-tiga bahagian ini perlu diasingkan dalam masakan kerana tempoh untuk memasaknya berbeza. Jika tidak mungkin berlaku kes tak cukup masak atau terlebih masak sehingga lunyai. Lepas selesai mengorek, kami pun balik dan sensei telah memberi sedikit sato imo sebagai habuan. But we don't know what to do with it. Masih ada di dapur.

Dalam raga tu semua mago

Iklan

Makin banyak usaha untuk menambah masjid di bumi sakura ini. Yang terbaru adalah di okayama ken. Kawan-kawan di Jepun adalah dijemput untuk memberi sumbangan. Sudilah meluangkan masa beberapa minit melawat laman webnya di sini.

Bedah Buku

Masa balik Malaysia dua bulan lepas, aku sempat singgah di kinokuniya KLCC dan membeli buku ni.


Buku ini keluaran Malaysia Think Tank London. Cetakan pertama ialah pada tahun 1991. Cetakan kedua ialah pada tahun ini dengan sedikit tambahan dari cetakan pertama.


So what it is all about?
Bagiku, bahasa Inggeris yang digunakan adalah untuk penulisan tesis. Agak sukar memahaminya sepintas lalu tetapi jika tumpukan perhatian insyaAllah tiada masalah. Tetapi sekali-sekala mungkin kabur juga apabila penulis membangkitkan idea-idea atau perkara terutamanya berkenaan sains politik. Ini kerana bagi mereka yang tiada pengetahuan asas berkenaan konsep kenegaraan(aku la tu), baik yang dikemukakan oleh cendekiawan Islam seperti ibnu khaldun mahupun cendikiawan barat, adalah suatu cabaran untuk memahami beberapa bahagian dalam buku ini. Selain itu, pengetahuan mengenai sejarah politik Islam, sejak zaman Rasulullah S.A.W hingga kini, sedikit sebanyak dapat memudahkan pemahaman pembaca.

Abdelwahab Affendy menulis buku ini sebagai satu kritik politik tentang konsep "negara" dalam Islam. Bahagian satu menghuraikan tentang kemunculan serta sebab kewujudan negara moden. Sejak kejatuhan Turki Uthmaniyah, konsep kenegaraan telah banyak berubah. Ramai manusia yang melakukan sesuatu kerana negaranya semata-semata.Quote"Muslims woke up from centuries of stagnation to find themselves resident within so-called national states, and were condemned forever to serve these strange creatures and worship them in place of god.'My country right or wrong' and 'my nation uber alles': that was the creed of the day. One no longer had to praise the Lord, or fight in His cause. It was no longer who was the greater, but one's country, and it was for one's country that one had to kill (and be killed). It is no wonder that muslims were plagued by chronic disorientation."

Turut disentuh ialah mengenai kuasa memerintah di dalam sejarah Islam, serta perdebatan yang timbul dalam isu negara Islam sejak kemunculan kumpulan kemalist setelah Turki tewas dalam perang dunia pertama. Begitu juga dengan kaitan Negara Islam serta hubungan antarabangsa.

Selain itu penulis turut mengajak pembaca meneliti kembali pemerintahan dalam Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W. Umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W., berbeza dengan zaman-zaman selepas itu. Jika pada awalnya komuniti Islam terdiri dari sebuah kota sahaja(Madinah) ia terus berkembang merentasi benua. Jika pada awalnya majoriti orang Islam adalah Arab, keadaan telah berubah apabila mesej Islam sampai kepada bangsa lain. Faktor-faktor ini sedikit sebanyak memberi kesan dalam pemerintahan.

Persoalannya, di zaman sekarang, andai Islam mahu didaulahkan dalam bentuk sebuah negara, apakah sistem politik yang patut diguna pakai. Adakah model negara Islam Madinah? Atau seperti pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kedua? Inilah antara persoalan dan perbincangan yang cuba dibangkitkan penulis.

Tidak rugi membaca buku ini. Tapi tidak semestinya kita perlu bersetuju dengan pendapat penulis atau Malaysia Think Tank London. Sambil membaca sambil berfikir.

P/s: Jangan lupa usaha islah diri.

Tsutzuku...

Nota sisi:
1) sensei =teacher, guru
2) nihongo = japanese language, bahasa jepun
3) mago = cucu
4) kodomo = anak
5) oya = parent (ayah atau ibu)
6) budo- = grape, anggur
7) hatake("ke" dibaca sama dengan bunyi "ke" dalam kepang) = kebun
8) sato imo = sejenis ubi tapi aku tak pasti spesisnya

Sunday, September 21, 2008

Book Surgery

Assalamu'alaikum,

Tinggal di kolej seorang diri memang sunyi. Every evening on weekdays I go to kenkyu-shitsu. But my sensei is not there all the time. He spend most of his time at other places. Sukar untuk aku bertanya jika ada soalan.

Semalam aku berbuka puasa dengan rakan-rakan seMalaysia yang lain. Best. Dulu aku pernah terbaca dalam Majalah Ujang, antara faktor yang menyebabkan makanan jadi sedap ialah makan beramai-ramai dan makan bila lapar.

Not my hand


Book Surgery
Kali ni aku nak bercerita sikit tentang "bedah buku". Kenapa "bedah"? Kenapa tak "baca" je? Nak dekat sama la kan. Mungkin perkataan bedah menggambarkan tindakan meneroka dan mencari. Ada hiperbola.

Aku bukanlah ulat buku. Bukan pembaca buku yang tegar. Seminggu tak sampai satu buku pun. Tapi kebelakangan ni, timbul sedikit kesedaran untuk menambah pelbagai ilmu. Lantas aku memulakan langkah perlahan untuk mencari dan membelek buku yang tidak termasuk dalam silibus pengajian.

Salah Bedah Pesakit=Tragedi; Salah Bedah Buku = ???
Namun dalam membedah buku ni kena jaga-jagalah jugak, untuk mengelakkan salah faham. Salah faham perkara kecil, mungkin tiada kesan ketara. Tapi parah jika yang disalah faham tu perkara besar. Berkaitan agama misalnya. Apatah lagi jika tentang akidah. Mungkin tips membedah buku dari artikel Ustaz Hasrizal ni boleh dimanfaatkan.

Begitu juga dengan naiyo- sesebuah buku. Seghairah mana pun keinginan untuk membaca, berwaspadalah kerana bukan semua buku ditulis untuk menyampaikan ilmu. Di luar sana ada jugak buku yang ditulis untuk memesongkan pemikiran.

Dan ingatlah kita kepada pesanan Nabi S.A.W dalam khutbah terakhir pada 9 Zulhijjah 10 Hijrah di Arafah. Dua perkara yang jika dipegang teguh, kita tidak akan sesat. Al-Quran dan As-Sunnah. Rajin-rajin lah kita semak semula dan refresh balik. Rajin-rajinlah bertanya pada yang berilmu jika timbul persoalan dan ketidakpastian.

Ghairah meneroka dan mengejar pelbagai bidang ilmu, jangan sampai terabai benda yang lebih penting


Blog sebagai tempat berkongsi
"Terlalu banyak membaca sampai minda jadi "tepu". Tak boleh masuk dah.", kata seorang sahabat. Boleh ke jadi lagu tu? Pendapat aku la, sambil memasukkan input-input ke dalam otak, kita kena keluarkan juga serba sedikit. Bila kita mengajar orang, kita lebih ingat apa yang kita belajar. Paling kurang pun, bercerita pada rakan tentang buku yang kita baca. Benda yang kita belajar, kalau kita tak amal atau tak sampaikan kat orang lain, kita cepat lupa.

Dan aku mengambil kesempatan di orenojinsei untuk mengulas secara ringkas buku yang aku fikir menarik. Dapat jugak berlatih membuat "rumusan". Di sekolah menengah dulu kena buat rumusan tak lebih 120 tango. Natsukashii na. Kadang-kadang kita tak berpeluang untuk berkongsi melalui percakapan, sebab bukan semua orang minat buku yang kita baca. Maka bolehlah manfaatkan blog sebagai tempat merumuskan buku.

Dan aku harap sesi bedah buku yang tak seberapa di orenojinsei, boleh jadi perangsang pada tetamu-tetamu agar turut tidak ketinggalan membedah buku seterusnya berkongsi di blog masing-masing jika berpeluang.

Selamat membaca semua! Jangan lupa share dengan aku.

And last but not least, to be honest sometimes I just don't know what should I write in orenojinsei. =). Bukanlah rajin sangat untuk bercerita segala-galanya tentang orenojinsei. Maka aku gunakan sesi bedah buku sebagai modal.

Selamat membedah buku dan berkongsi!

Tsutzuku...

Nota sisi;
1) naiyo- = content, isi kandungan
2) tango(baca "tang+go", bukan menari "tango") = word, perkataan
3) tsutzuku = to be continued, bersambung
4) sensei = lecturer, pensyarah
5) orenojinsei = my life, kehidupanku

Tuesday, September 16, 2008

Second half

Assalamu'alaikum,

Safely returned to Akita. Separuh kedua Ramadhan perlu diharungi di sini. Perjalanan dengan pesawat MAS pada sebelah malam, disusuli dengan shinkansen ke Akita keesokan harinya cukup meletihkan.

Ok kita dah sampai...

Aku tiba pada hari Sabtu. Penat berjalan kaki dari eki ke asrama, tapi malangnya pejabat asrama kolejku cuti sampai Isnin. Tak dapatlah aku masuk bilik hingga hari Selasa. Mujur ada rakan-rakan seMalaysia yang lain. Boleh aku sambung menumpang.

Asrama sedang direnovate. Depa dok buat kerja-kerja pengukuhan untuk hadapi gempa bumi

Bahang natsu pula makin pudar. We will welcome aki in a few weeks. From hot to cool. From green to yellow and brown. Nature is a miracle. Seeing the nature transform from season to season, is more than enough to make us believe in the Creator. Zikir(Ingat) dan Fikir. Sekali lagi aku terkenang apa yang diperkatakan pada Summercamp yang lepas. Mereka yang berakal, ialah mereka yang mengINGATi Allah dan meMIKIRkan tentang kejadian alam


The leaves are starting to change

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam
keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata);"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.(2:190~191)"


Aku Terima Nikahnya(ATN)

"Ko terlewat beli buku ni Ajak, patut beli sebelum kahwin", kataku pada senpai yang dah setahun berumah tangga dan bercahaya mata. "Tapi aku tengok buku ni lagi banyak cerita hal lepas kahwin. Kisah-kisah sebelum kahwin tak sebanyak tu", Ajak membalas.


Credit to Zubair

ATN merupakan kompilasi artikel-artikel Abu Saif yang ditulis di saifulislam.com. Bagi mereka yang dah biasa dengan saifulislam.com, membaca ATN ibarat suatu ulangkaji. Mengingatkan kembali tentang susah payah hidup berumah-tangga, berdasarkan pengalaman Abu Saif sendiri yang ditulis dalam laman webnya. Bukan hendak menjadikan hidup Abu Saif sebagai role model yang mutlak, tetapi mana-mana yang baik memang wajar kita contohi dan jadikan teladan. Apepun, bagi mereka yang dah ada angan-angan untuk berumahtangga, aku sangat susume buku ini.

Sengaja bersusah payah

Tapi aku agak terkesan dengan artikel "menyengajakan beberapa kesusahan". Aku setuju, bersusah payah dalam urusan harian adalah proses yang akan mendidik kita belajar menguruskan hidup. Cuma di zaman kini, aku rasa tidak wajar untuk membiarkan anak-anak terlalu bebas, walaupun tujuannya adalah untuk mereka berlatih menguruskan hidup sendiri, kerana persekitaran yang kurang selamat. Kurang selamat dek ancaman keselamatan dan ancaman pemikiran.


1427 Tahun Dahulu
Dah masuk 17 Ramadhan. Bagaimana keadaan kawan-kawan semua? Aku ada dalam bilik. Sebelah kiri aku ada kipas elektrik berputar membekalkan angin dingin. Tapi pada 17 Ramadhan 1427 tahun yang dulu, Nabi Muhammad SAW dengan sahabat-sahabat yang lain, telah berperang dengan musuh yang tiga kali ganda ramai di Badar. Semata-mata untuk Islam. Tidaklah aku mahu mengulas panjang. Sekadar memperingati dan cuba mengambil pelajaran.

Tsutzuku...

Nota sisi:
1) shinkansen = bullet train, keretapi laju Jepun
2) eki = station, stesyen
3) natsu = summer, musim panas
4) aki = autumn, musim luruh
5) tsutzuku = to be continued, bersambung lagi
6) senpai = senior
7) susume = syorkan